Maritim tahan lima nelayan kru warga Myanmar
LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan lima kru warga Myanmar bersama sebuah bot nelayan tempatan kerana disyaki menangkap ikan di zon larangan serta menggunakan pukat tunda, kira-kira 6.2 batu nautika barat daya Pulau Jarak, dekat sini pagi Selasa.
Pengarahnya, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, Kapal Maritim (KM) Nyalau yang sedang melaksanakan Ops Benteng di sekitar perairan Pulau Jarak telah mengesan sebuah bot nelayan kelas C dalam keadaan mencurigakan kira-kira 9.15 pagi.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bot dikendalikan oleh lima kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 21 hingga 31 tahun dan empat daripada kru terbabit tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Manakala, seorang lagi kru memiliki permit yang telah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Shahrizan berkata, kesemua kru serta bot yang ditahan itu diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu, Sitiawan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Kesemua individu berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di zon yang dilarang dan menggunakan pukat tunda, serta Akta Imigresen 1959/63 kerana menggunakan kru warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!