Cheng Hoe kena ada ramuan lain
PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe disaran menyediakan pelan B jika Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh dan Muhammad Syafiq Ahmad masih gagal menyerlah menjelang Kelayakan Pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun depan.
Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, Cheng Hoe perlu mencari ‘muka baharu’ bagi menggantikan ketiga-tiga tonggak serangan skuad kebangsaan itu sebagai persediaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Cheng Hoe perlu mempunyai pelan A yang mana membabitkan Sumareh, Safawi dan Syafiq manakala satu lagi pelan B tanpa melibatkan kelibat ketiga-tiga mereka untuk perlawanan kelayakan itu nanti.
“Pada saya tidak salah untuk Cheng Hoe menyediakan back up plan sebagai senarai standby dalam mengatasi masalah ini. Sebelum berlakunya situasi yang memerlukan Cheng Hoe menekan butang panik adalah lebih baik beliau segera menyediakan pelan B.
“Pelan B itu penting kerana kita perlu faham tempoh masa sebulan lebih ini diperlukan untuk menyediakan pemain yang benar-benar cergas beraksi dalam sesuatu pertandingan kompetitif,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Sebelum ini, Cheng Hoe mengakui tidak bimbang walaupun beberapa tonggak seperti Sumareh, Safawi dan Syafiq tidak mendapat minit perlawanan yang secukupnya bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).
Azraai Khor berkata, beliau memahami situasi yang menyebabkan pengendali JDT, Benjamin Mora tidak menurunkan ketiga-tiga tonggak Harimau Selatan itu dalam kesebelasan utama pada beberapa aksi terakhir Liga Super.
“Kita perlu faham Benjamin Mora tentunya mengambil kira banyak perkara sebelum menurunkan mereka. Saya percaya beliau terlebih dulu akan mendapatkan nasihat doktor atau pegawai perubatan kelab dan jurulatih kecergasan.
“Semasa mengendali Kedah sebelum ini, saya juga menghadapi situasi sama kerana saya juga tak berani gamble menurunkan pemain yang belum benar-benar pulih. Saya faham situasi yang dilalui Mora ketika ini,” ujarnya.
Pada masa sama, Azraai Khor optimis ketiga-tiga tonggak itu mampu memberikan impak positif kepada Harimau Malaya sekiranya terus mendapat kepercayaan Cheng Hoe di UAE nanti.
“Saya masih berharap ketiga-tiga pemain terbabit terutamanya Safawi dapat kembali semula ke tahap kecergasan terbaik mereka kerana kita tahu bahawa mereka adalah yang terbaik dimiliki pasukan kebangsaan.
“Biarpun tanpa minit perlawanan yang cukup dan kurang menyerlah bersama kelab, namun pengalaman mereka sudah pasti menjadi aset kepada pasukan kebangsaan bagi menghadapi aksi kelayakan di UAE,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!