Kuala Lumpur City terlepas khidmat Dominique Da Sylva
KUALA LUMPUR City terpaksa melupakan khidmat Dominique Da Sylva menjelang kunjungan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi liga di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Jumaat ini selepas penggempur import tersebut mengalami kecederaan ligamen kaki.
Lebih malang menurut Pengendali Kuala Lumpur City, Bojan Hodak, bekas pemain Terengganu FC tersebut dijangka terpaksa disisihkan dalam tiga perlawanan sebelum liga berhenti rehat bagi memberi laluan kepada skuad Harimau Malaya mengharungi Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.
“Dominique sememangnya pemain yang cukup penting kepada pasukan kerana tanpanya kami tidak banyak pilihan selain Romel Morales, namun dia lebih sesuai bertindak selaku pembantu di bahagian serangan.
“Selain itu, saya mungkin menimbangkan Safee Sali dan mana-mana pemain di bahagian tengah yang boleh bertindak selaku penyerang seperti Paulo Josue.
“Berdepan JDT, saya faham mereka pasti datang dengan situasi yang lebih bersemangat selepas kalah tempoh hari tetapi perkara ini amat baik kepada kami. Tekanan mungkin akan dirasai oleh mereka dan situasi adalah normal dalam bola sepak, jadi kami cuba yang terbaik berikan saingan kepada JDT, ” katanya
Dalam pada itu, Hodak menuntut pemain Kuala Lumpur City untuk lebih fokus bagi mengelak bolos pada minit-minit akhir perlawanan sekali gus menyebabkan mereka terlepas beberapa mata berharga pada saingan liga musim ini.
Dalam empat perlawanan terakhir anak buah Hodak bolos minit-minit terakhir semasa bertemu PJ City, Sri Pahang, Terengganu dan terakhir semasa tewas 2-3 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC selain perlawanan ketiga dengan Selangor FC.
Dua punca utama menurut Hodak adalah kurangnya fokus dalam kalangan pemain selain pemain gantian gagal mainkan peranan dalam mengekang pihak lawan.
“Daripada semua perlawanan ini, mungkin berdepan Terengganu antara situasi yang berada di luar kawalan kita kerana jaringan yang dilakukan oleh Makan Konate cukup cantik.
“Namun, beberapa perlawanan lain seperti dengan PJ City dan Selangor, semuanya ada mengena dengan tahap konsentrasi pemain dan kami sedang cuba perbaiki masalah ini.
“Begitu juga semasa dengan Sri Pahang, walaupun kami menang 2-1 namun gol yang dijaringkan oleh lawan juga pada masa kecederaan manakala dengan Kedah, saya enggan perkatakan.
“Apa yang saya boleh katakan mengenai perkara ini selain fokus pemain, saya lihat mereka yang dibawa masuk dari bangku simpanan tidak dapat berikan impak sama seperti pemain utama bila dibawa masuk dalam beberapa perlawanan sebelum ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!