Makkah dilanda banjir kilat
MAKKAH - Hujan lebat luar biasa yang melanda Makkah sejak petang Selasa menyebabkan beberapa kawasan terutama di bandar dilanda banjir kilat.
Menurut Astro Awani menerusi perkongsian di laman Twitter Haramain Sharifain, hujan lebat yang amat jarang berlaku sejak Asar menyebabkan air naik sehingga mencecah 0.5 meter.
Susulan itu, pihak Pertahanan Awam mengeluarkan amaran berjaga-jaga kepada semua pihak.
Sebelum ini, pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran cuaca buruk membabitkan beberapa wilayah di seluruh Arab Saudi bermula Jumaat sehingga Selasa.
Amaran awal berkenaan membabitkan ramalan ribut petir dengan hujan sederhana serta angin kencang di wilayah Asir, Al-Baha, Jazan, Najran, Makkah dan Madinah bermula Jumaat.
Memetik laporan media tempatan juga, amaran itu turut melibatkan ibu kota Riyadh, Qassim dan Provinsi Timur yang akan mengalami hujan lebat sederhana yang dijangka mengakibatkan arus deras dan banjir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!