Siapa itu penunggang agama?
FILEM Penunggang Agama arahan Syafiq Yusof telah mendapat kutipan pecah panggung RM2 juta. Dalam keadaan Covid-19, ia dapat ditayang di pawagam di Singapura pula bulan ini. Syafiq Yusof pula sudah jadi jenama. Kerana itu filem-filemnya yang bergenre seram, komedi dan aksi seperti Abang Long Fadil dan Desolusi mendapat tempat di mata penonton filem.
Barangkali juga judul Penunggang Agama itu menarik. Inilah frasa popular yang banyak sekali digunakan oleh kita apabila melihat seseorang atau sekumpulan manusia melakukan aktiviti kehidupan mereka sama ada dalam bidang perniagaan dan perkhidmatan dengan imej Islamik.
Soalnya, apakah tepat dakwaan kita kepada mereka yang memperlihat imej Islamik dalam kegiatan harian mereka sebagai penunggang agama? Frasa ini jadi penarik kerana ‘penunggang agama’ itu adalah pictorial phrase atau frasa bergambar. Apabila menyebut ‘penunggang agama,’ di minda kita terbayang seseorang sedang menunggang perkataan ‘agama.’
‘Tunggang’ adalah perbuatan yang bermaksud menaiki atau mengenderai sesuatu untuk ke sesebuah tempat. Kenderaan ditunggang itu boleh jadi binatang seperti kuda atau unta, ataupun alat seperti basikal atau motosikal.
Oleh kerana yang ditungganginya itu adalah alat, perbuatan dikatakan sebagai menunggang agama itu bermaksud menggunakan agama sebagai alat untuk cepat sampai ke matlamat.
Walau apa pun yang diperkatakan, frasa ‘penunggang agama᾿ hanyalah berupa tuduhan semata-mata. Ia adalah anggapan yang digunakan dalam cakap-cakap, sembang-sembang ataupun tulisan di media sosial.
Tidak ada penerbitan cetak ataupun elektronik arus perdana yang menggunakan perkataan penunggang agama sebagai istilah pilihan untuk menggambarkan seseorang yang disyaki menggunakan agama untuk mencapai tujuan lain.
Lagi pula, tidak ada seorang pun pernah dituduh dari segi undang-undang sebagai penunggang agama. Yang ada ialah seseorang yang dituduh dan dihukum di mahkamah kerana bersalah mengamalkan ajaran sesat.
Oleh kerana frasa ‘penunggang agama’ adalah frasa bualan atau penyedap istilah dalam tulisan dan percakapan khalayak umum, selalunya tuduhan atau tanggapan ini berpunca kerana segolongan besar masyarakat terlupa bahawa Islam itu adalah ad-din, iaitu satu cara hidup. Mereka pelik bagaimana ada manusia menjalankan aktiviti harian membawa penampilan, percakapan dan perbuatan Islamik.
Maaf cakap, kita berada di akhir zaman di mana amalan beragama dalam kehidupan itu dianggap asing dan pelik. Oleh kerana kita dijajah golongan Kristian lebih 450 tahun sebelum dapat merasai kemerdekaan, tanpa kita sedari, kita dididik dengan pemikiran untuk berfikiran sekular iaitu mengasingkan agama dengan kehidupan. Kita hanya melihat agama itu hanya wujud di sejadah. Bila kita lipat sejadah, agama kita turut terlipat di dalamnya!
Walaupun kita berikrar sesungguhnya ‘solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk ALLAH SWT, Tuhan seluruh alam’ di dalam doa iftitah pada setiap solat lima waktu, kita kerap tertinggal ‘ibadahku, hidupku dan matiku’ ketika menjalani kehidupan.
Sebab itu kita hairan, berasa pelik apatah lagi menuduh mereka yang berpakaian jubah dan serban yang bercakap disulami selawat dan doa serta yang mengawal diri dari melakukan perbuatan lagha dalam kehidupan seharian sebagai penunggang agama.
Sedangkan mereka amalkan agama sebagai ad-din; agama mengalir dalam tubuh mereka. Justeru, dari sudut manakah mereka menunggang sesuatu yang berada di dalam sedangkan alat tunggangan itu sepatutnya berada di luar?
Mengapa tidak kita sebagai manusia yang lebih celik dan lebih peka mencari jalan untuk menemui sesiapa yang kita anggap sebagai penunggang agama ini? Sekarang zaman teknologi. Kita mudah sahaja memperoleh akses kepada sesiapa yang kita anggap sebagai penunggang agama itu.
Berani kerana benar. Kalau berani, kita tampil dan bertanya secara langsung sama ada berdepan mahupun secara ‘PM tepi’ sekali pun. Berani kerana benar juga buat mereka. Andainya mereka benar, mereka akan jawab segala tuduhan juga secara langsung.
Kalau mereka tidak jawab, barulah kita boleh label mereka macam-macam. Tetapi yang terbaik ialah laporkan aktiviti individu mahupun kumpulan penunggang agama ini ke pihak yang berkuasa. Kita tidak boleh menuduh secara sembrono. Berdosa.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!