Pembinaan hospital fokus utama calon PH jika dipilih
SEMENYIH - Pembinaan sebuah hospital daerah di sini akan menjadi agenda utama calon PH, Muhammad Aiman Zainali jika menang dalam PRK DUN Semenyih pada 2 Mac nanti.
Katanya isu berkenaan merupakan permasalahan yang paling banyak diutarakan masyarakat setempat kepada beliau sejak beliau memulakan kempennya Sabtu lepas.
“Ramai yang berpendapat Semenyih memerlukan sebuah hospital daerah berikutan jumlah penduduk di sini yang ramai. Di sini hanya mempunyai klinik kesihatan yang memang tidak dapat menampung jumlah penduduk yang ramai.
“Saya faham masalah ini kerana saya asal dan tinggal di sini. Buat masa ini penduduk di sini perlu ke Hospital Kajang yang sesak dengan pesakit untuk mendapatkan rawatan dan Insya-Allah, isu ini akan diusahakan jika saya dipilih menjadi wakil rakyat di sini nanti,” katanya kepada pemberita selepas meluangkan masa beramah mesra dengan pengundi di sini hari ini.
Pada satu majlis di sini lewat malam tadi, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan kerajaan pusat sekiranya ada rancangan untuk membina sebuah hospital di Semenyih.
“Baru-baru ini kerajaan negeri telah buat keputusan jika betul ada peruntukan yang cukup di kerajaan persekutuan kami bersedia memberikan nominal untuk pembinaan sebuah hospital di sini. Ia perlu dilihat 'case by case' (satu persatu) kerana ia tertakluk di bawah Majlis Tanah Negara. Saya percaya ia dapat diatasi apabila kita dapat kenal pasti tapak yang sesuai,” katanya.
PRK DUN Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Muhammad Aiman, Zakaria Hanafi dari BNl, calon Bebas Kuan Chee Heng dan Nik Aziz Afiq Abdul dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH, pada 11 Januari lepas, akibat serangan jantung.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!