PDRM semak semula siasatan kes Addy Kanna, dua anggota polis

Abdul Hamid Bador (Laporan Sinar Harian pada Selasa.)
Abdul Hamid Bador (Laporan Sinar Harian pada Selasa.)
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyemak semula siasatan kes Zaidi Kanapiah atau Addy Kana dan dua anggota polis yang dibebaskan serta-merta daripada tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), berkaitan sindiket judi dalam talian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, perkara berkenaan akan diserahkan kepada timbalannya Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani untuk berbincang dengan pegawai-pegawai polis yang terlibat mengendalikan kes itu.

“Datuk Seri Acryl Sani akan panggil dan berbincang dengan mereka (pegawai polis terlibat kendali kes Addy Kana) untuk melihat kelemahan siasatan kes berkenaan.

“Ia adalah untuk mengelakkan daripada berulang kembali (gugur kes POCA) dan saya tidak mahu PDRM dilihat seolah-olah bersikap semberono sahaja menggunakan peruntukan undang-undang mengenakan POCA ikut sesuka hati tanpa kualiti yang mungkin menyebabkan seseorang itu teraniaya,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian Surat Penghargaan Tolak Rasuah PDRM di Bukit Aman di sini pada Rabu.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat memerintahkan ketiga-tiga lelaki itu dibebaskan selepas membenarkan rayuan mereka terhadap permohonan writ habeas corpus supaya dibebaskan dengan serta-merta.

Abdul Hamid berkata, siasatan kes melibatkan sindiket judi dalam talian memang rumit dan pihak polis juga perlu mengambil kenyataan daripada pelbagai pihak untuk dinilai.

“Sekiranya cukup bukti, kami akan terus bawa ke mahkamah untuk pendakwaan dan PDRM tidak akan ambil pendekatan dengan sengaja untuk buat kerja secara cincai (sambil lewa) dan ia (kes Addy Kana) akan dikaji kembali,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan seramai 25 pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis menerima Surat Penghargaan Tolak Rasuah PDRM kerana melaporkan pemberian dan penerimaan kes rasuah.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan menolak pemberian sogokan dan melaporkan aktiviti terkutuk itu adalah satu keberanian yang ada kalanya sukar dilakukan oleh segelintir pihak.

“Saya berikan amaran bahawa tahap integriti dan pematuhan standard pasukan PDRM masih berada di tahap yang membimbangkan dan penahanan-penahanan yang dilakukan terhadap warga PDRM atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa bukti PDRM tidak kompromi terhadap perbuatan sedemikian,” katanya.

Turut hadir, Acryl Sani dan Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!