Jual jeruk tampung keperluan anak hidap cerebral palsy
MACHANG – Seorang ibu tunggal berniaga jeruk buah bagi menampung keperluan untuk anak perempuannya yang menghidap cerebral palsy atau kelumpuhan otak.
Seorang diri menguruskan Nur Athirah Najihah Ibrahim, 18, bukanlah satu bebanan kepada Siti Zubaidah Mohd Ali, 56, walaupun mengakui dia sendiri mempunyai masalah kesihatan seperti kencing manis, darah rendah dan saraf.
Terbaring sejak dilahirkan, selama itu jugalah Siti Zubaidah menjaga anak bongsunya sepenuh masa selepas kematian suami, Ibrahim Abdul Rahman sejak 10 tahun lalu akibat serangan jantung.
“Sebelum ini pendapatan saya tidak menentu dan ambil upah memasak dengan pendapatan RM150 sebulan. Memandangkan saya tidak boleh keluar bekerja kerana perlu menjaga Athirah, saya ambil keputusan untuk jual jeruk di depan rumah.
“Saya juga perlu dapatkan bekalan ubat-ubatan di farmasi dan sebagainya dua bulan sekali. Sekurang-kurangnya dengan hasil jualan ini dapatlah bantu beli ubat saya dan Athirah,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Kampung Pangkal Changgong, di sini pada Rabu.
Siti Zubaidah menerima kunjungan Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) yang diketuai oleh Presidennya, Shahnun Haniff Abdullah Suhaimi serta wakil The Grand Renai Hotel, Raja Rusmin Raja Mahmud yang turut menyampaikan sumbangan makanan dan keperluan asas melalui program kerjasama dengan KEMUDI iaitu Kita Kongsi.
Ketika ditanya mengenai Athirah, Siti Zubaidah memberitahu, anaknya itu dilahirkan pramatang dan perlu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selama lebih dua bulan sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
Namun ketika berusia sembilan sebulan, Athirah mengalami masalah demam panas dan sering batuk sehinggalah doktor mengesahkan terdapat jangkitan kuman di otak sebelah kirinya.
"Selepas menjalani dua pembedahan bagi membuang sebahagian otak sebelah kirinya yang sudah dijangkiti kuman, kami berkampung selama dua tahun di HUSM sebelum Athirah dibenarkan pulang,” katanya.
Menurut Siti Zubaidah, Athirah mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan yang digunakan sepenuhnya untuk membeli semua keperluannya
Mengakui mempunyai tiga orang anak lagi, Zubaidah tidak berharap mereka membantu memandangkan mereka juga kurang berkemampuan.
Menjual jeruk dengan harga RM10 sebekas, Zubaidah berdoa agar rezekinya sentiasa dipermudahkan ALLAH SWT untuk dirinya dan Athirah agar tidak menyusahkan masyarakat sekeliling.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Agro Bank bernombor 2-00-6672-00009242-6 atas nama Siti Zubaidah Mohd Ali atau boleh menghubunginya di talian 017-9645289.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!