Tiga sekeluarga nyaris maut Lamborghini terbakar
MARAN - Sebuah kenderaan mewah berprestasi tinggi jenis Lamborghini dinaiki tiga sekeluarga musnah dalam kebakaran selepas terbabit kemalangan di Kilometer 178.1, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur, di sini pada petang Selasa.
Dalam kemalangan yang dilaporkan jam 6.16 petang itu, pemandu berusia 28 tahun, isteri dan seorang anak mereka sempat menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran, Samsul Effendi Sulaiman berkata, kenderaan mewah tersebut dipercayai dalam perjalanan menuju ke Terengganu.
Menurutnya, kenderaan tersebut dipercayai terbabas ketika tiba di lokasi kejadian sebelum terbakar.
"Susulan daripada maklumat diterima, sembilan anggota dari BBP Maran bersama jentera dan ambulan EMRS ke lokasi untuk operasi menyelamat.
"Anggota yang tiba segera memadam kebakaran namun kenderaan berjenama dari Itali itu musnah sepenuhnya," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!