Solskjaer terkesan komen penyokong Roma
PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui terkesan dengan komen-komen yang dilontarkan penyokong Roma menjelang aksi separuh akhir pertama Liga Europa di Old Trafford pada Jumaat.
Menurut Solskjaer, komen-komen berkenaan difahamkan ditujukan kepadanya berikutan kenyataan yang dikeluarkannya setelah United menewaskan Granada pada aksi suku akhir lalu menerusi agregat 4-0 hasil kemenangan 2-0 bagi aksi pertama di Las Cremenes 9 April lalu dan dengan jaringan sama di Old Trafford bagi aksi kedua pada 16 April.
Solskjaer berkata, dia juga dapat merasakan bahang kemarahan penyokong-penyokong gergasi Serie A itu berikutan dengan poster yang memaparkan wajahnya menjelang aksi separuh akhir berkenaan dengan nota yang bermaksud (Pastikan Mereka Mengingati Kami).
Katanya, nota berkenaan dipercayai dibuat berikutan kenyataannnya yang tidak pernah menyaksikan Roma beraksi.
“Selepas menewaskan Granada saya hanya mengatakan saya tidak pernah menyaksikan Roma beraksi dan tidak tahu corak permainan mereka.
“Saya tahu mereka beraksi baik menentang Ajax (Amsterdam) juga pada aksi suku akhir. Mereka bertahan dengan baik sebagaimana kelab-kelab lain dari Itali,” katanya.
Sementara itu Solskjaer mahu benteng pertahanan The Red Devils memberikan tumpuan terhadap bintang Roma, Edin Dzeko pada aksi separuh akhir berkenaan.
Katanya, berdasarkan pengalaman yang dimiliki bintang Bosnia itu mampu menghadirkan ancaman besar jika berada dalam kotak penalti lawan.
“Biarpun telah agak berusia, namun saya mahu pemain pertahanan memberikan tumpuan kepada Dzeko kerana saya percaya dia masih seorang penyerang yang merbahaya.
“Apa pun, kami kini di peringkat separuh akhir dan mengidamkan untuk mara ke pentas final kerana jika mampu menamatkan musim dengan beraksi di final dan memenangi trofi, ia adalah satu pencapaian yang hebat,” katanya.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi bagi aksi separuh akhir kedua pada 7 Mei nanti di Stadium Olimpico.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!