Malaysia dijadikan transit seludup ayam sabung, burung murai
LANGKAWI - Malaysia dijadikan transit dan hab pelbagai spesies haiwan dan tumbuhan untuk diseludup ke negara jiran.
Pendedahan itu dibongkar Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah/Perlis apabila berjaya menumpaskan cubaan tiga lelaki warga Indonesia menyeludup keluar ayam sabung dan burung murai batu menggunakan sebuah bot fiber di kedudukan 2.1 batu nautika, barat laut, Pulau Anak Datai, pada tengah malam Isnin.
Pengarah Maritim Malaysia Kedah/Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, modus operandi dikenal pasti iaitu penyeludup merentas negara menaiki bot yang dipercayai bergerak dari Thailand menuju ke Indonesia untuk menghantar barangan seludup.
“Bot fiber berwarna hijau tanpa nombor pendaftaran itu dikesan sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan menghala keluar dari perairan negara, pada 11.25 malam,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati tiga lelaki berumur lingkungan 35 hingga 42 tahun di atas bot bersama 71 ekor ayam sabung dalam 60 buah kotak, tiga buah sangkar memuatkan 40 ekor burung murai batu, serta 533 pokok kaktus pelbagai saiz.
“Bot itu berjaya dipintas sekitar 12.30 tengah malam dan dipercayai kesemua barangan itu termasuk 20 tong petrol dalam perjalanan untuk diseludup ke negara jiran,” katanya.
Mohd Zawawi berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.02 juta termasuk sebuah bot dengan dua enjin 200 kuasa kuda.
“Penemuan ini adalah hasil maklumat risikan serta pengesanan radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA), dengan bantuan bot ronda Maritim Malaysia yang melakukan rondaan Op Aman serta Op Benteng,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, aktiviti penyeludupan ayam sabung dan burung murai batu mulai rancak susulan permintaan tinggi dari negara jiran, selain harga di pasaran Indonesia yang tinggi mencecah RM10,000 (35 juta rupiah) bagi ayam sabung.
“Burung murai batu (copsychus malabaricus) pula harganya boleh mencecah sehingga RM4,000 (14,138,500 juta rupiah).
"Kemerduan suara burung murai batu dikatakan sukar ditandingi menyebabkan hidupan liar ini terus diseludup secara besar-besaran ke negara jiran berikutan permintaan tinggi dalam kalangan penggemar burung,” katanya.
Mohd Zawawi berkata, kesemua suspek juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika mereka ditahan.
“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen sah, Akta Binatang 1953 kerana mengimport tanpa permit dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana memburu atau menyimpan hidupan liar yang dilindungi,” katanya.
Jika disabit kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan.
Bagi kesalahan bawah Akta Binatang 1953, Sub-seksyen 36(1) boleh didenda tidak lebih RM15,000.
Bagi kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Seksyen 61, pesalah boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Mohd Zawawi menegaskan, pihaknya memandang serius kesalahan terbabit berikutan kawalan dan perlindungan terhadap mergastua serta flora dan fauna amat penting bagi kelestarian sumber alam negara.
Orang ramai turut diingatkan untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Kedah/Perlis di talian 04-9662750 dan MERS 999 yang beroperasi 24 jam, sekiranya mempunyai maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!