Lelaki ditahan bersama 304 peket dadah

Rampasan dadah yang dilakukan bersama penahanan seorang lelaki di kawasan Hentian Rehat dan Rawat Gunung Semanggol, Bagan Serai pada Selasa. Gambar kecil: Mior Faridalathrash Wahid
Rampasan dadah yang dilakukan bersama penahanan seorang lelaki di kawasan Hentian Rehat dan Rawat Gunung Semanggol, Bagan Serai pada Selasa. Gambar kecil: Mior Faridalathrash Wahid
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki ditahan bersama ratusan peket plastik disyaki dadah dalam satu serbuan di kawasan Hentian Rehat dan Rawat Gunung Semanggol, Bagan Serai pada Selasa.

Operasi jam 6.10 petang oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu dilakukan hasil risikan dan maklumat orang awam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pemeriksaan lanjut ke atas lelaki berusia 33 tahun itu telah menemui 304 peket plastik pelbagai warna mengandungi serbuk dadah jenis syabu, ecstasy dan ketamin seberat 6,802 gram.

"Nilai pasaran keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM121,600.

"Dalam serbuan itu, suspek tidak sempat melarikan diri dan polis turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang digunakan oleh lelaki terbabit," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati lelaki terbabit mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

"Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga 4 Mei depan bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati," katanya.

Beliau berkata, kejayaan tangkapan itu adalah hasil kerjasama erat antara masyarakat dengan agensi penguat kuasa.

Artikel Berkaitan:

"Polis akan terus memperhebatkan operasi pembanterasan aktiviti penagihan, penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri ini dari masa ke masa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!