Kompaun RM50,000: UMNO Kelantan bantu penjual colek

Pasangan peniaga tersebut bertemu dengan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang juga Ketua Sekretariat Peguam Muda dan Perundangan Nik Saiful Adli Burhan (tiga, kiri) bagi membincangkan secara terperinci kes berkenaan.
Pasangan peniaga tersebut bertemu dengan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang juga Ketua Sekretariat Peguam Muda dan Perundangan Nik Saiful Adli Burhan (tiga, kiri) bagi membincangkan secara terperinci kes berkenaan.
A
A
A

KOTA BHARU – UMNO Kelantan menawarkan bantuan kepada seorang penjual colek (rojak) bagi membantu menguruskan masalah kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap peniaga itu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu entri yang dikongsi di laman sosial Facebooknya memberitahu, pihaknya yang dibarisi peguam yang dilantik akan melihat perkara tersebut dengan lebih terperinci terutama dalam aspek perundangan.

Menurutnya, Selasa lalu, Ketua Pemuda UMNO Pengkalan Chepa, Fareez Amran dihubungi pasangan suami isteri berkenaan untuk mendapatkan khidmat nasihat dan guaman percuma yang disediakan Pergerakan Pemuda UMNO.

ARTIKEL BERKAITAN Peniaga colek pula dikompaun RM50,000

“Peguam dilantik bagi memudahkan urus cara rayuan pengurangan kompaun kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan memandangkan peniaga berkenaan tidak mampu untuk membayar jumlah sebanyak itu.

“Kita akan dapatkan maklumat berkenaan kejadian sebenar dan telah meneliti setiap aspek pembelaan dan ada kemungkinan terdapat salah faham oleh pihak berkuasa yang mengeluarkan kompaun apabila menganggap anak-anak peniaga yang makan di meja selepas kedai ditutup sebagai pelanggan,” katanya.

Dalam entri yang sama, Asyraf juga memberitahu, peguam yang ditugaskan akan menyediakan representasi bagi pihak peniaga berkenaan.

Katanya, ia adalah untuk memohon pertimbangan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan bagi menarik balik Notis Kompaun sekurang-kurangnya menyiasat kes ini dengan teliti sebelum membuat keputusan untuk tindakan selanjutnya.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, Pemuda UMNO berpendirian, pihak berkuasa seharusnya menggunakan pertimbangan dan budi bicara dalam melaksanakan undang-undang di bawah Ordinan Darurat dengan mengambil kira situasi dan kondisi rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Dalam suasana pandemik covid-19 yang benar-benar menekan situasi ekonomi rakyat ketika ini, prinsip keadilan yang disulami dengan nilai ihsan mesti menjadi asas dalam menguatkuasakan apa jua bentuk perundangan dan peraturan,” katanya.

Peniaga colek tersebut antara tiga individu yang dikenakan kompaun RM50,000 pada Ahad lalu itu seorang peniaga burger dan pemilik kedai runcit di Pengkalan Chepa, di sini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!