Arun diperintah bayar RM150,000 fitnah Mufti Perlis

Arunakirinathan dan Asri Zainul Abidin
Arunakirinathan dan Asri Zainul Abidin
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu memerintahkan seorang aktivis sosial, T Arunakirinathan membayar ganti rugi RM150,000 kepada Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkaitan dua hantaran fitnah di Facebook pada tiga tahun lalu.

Peguam, Meor Amir Meor Omar Baki yang mewakili Mohd Asri berkata, Hakim Datuk Ishak Bakri membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan saman dikemukakan anak guamnya selaku plaintif terhadap Arunakirinathan.

Beliau berkata, mahkamah turut memerintahkan Arunakirinathan selaku defendan membayar kos RM20,000 kepada plaintif.

Selain itu beliau berkata, Arunakirinathan dikehendaki membuat permohonan maaf secara bertulis dan terbuka.

Menurutnya, permohonan maaf itu perlu dibuat menerusi Facebook Arunakiri Nathan dan Arunakiri Nathan II serta akhbar utama pilihan plaintif.

"Dia dikehendaki menarik balik kedua-dua hantaran yang memfitnah itu termasuk mana-mana hantaran yang memetik plaintif secara langsung atau tidak langsung.

"Selain itu mahkamah juga membenarkan suatu injuksi kekal menghalang defendan daripada bercakap, menerbitkan, menghasut bagi tujuan penerbitan atau menyebabkan penerbitan sebarang hantaran yang memfitnah serta merujuk kepada plaintif sama ada secara lisan atau secara bertulis," katanya.

Pada prosiding itu, plaintif turut diwakili peguam, Nur Anis Abdul Rani dari Tetuan Raja Faisal, Iqbal dan Meor.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!