Projek rumah terbengkalai dibina semula selepas Aidilfitri
KUALA TERENGGANU - Projek Perumahan fasa 3 di Taman Sri Purnama di Kampung Gong Chempedak, Rhu Rendang, Marang yang terbengkalai sejak 2018 akan dibina semula selepas Hari Raya Aidilfitri.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, keputusan itu dicapai selepas pertemuan diadakan bersama pemaju perumahan itu pada Rabu.
Menurutnya, kerja-kerja pembinaan kediaman itu terbengkalai berikutan masalah kewangan yang dialami pemaju sebelum ini.
"Kerajaan negeri akan berusaha membantu bagi memastikan projek ini dapat diteruskan dan pembeli tidak menanggung kerugian.
"Berdasarkan perbincangan bersama, kita akan bantu pemaju untuk kembali memulakan projek ini selepas Aidilfitri, namun tempoh siap projek ini belum dapat diputuskan kerana ia bergantung kepada beberapa faktor," katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman pada Rabu.
Sebelum itu, wakil pembeli perumahan itu menyerahkan memorandum kepada wakil Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Iman pada Rabu.
Memorandum tersebut meminta campur tangan kerajaan negeri untuk menyelesaikan permasalahan dialami berhubung projek pembinaan yang terbengkalai sejak sekian lama.
Wakil pembeli, Abdul Halim Mohamed berkata, seramai 120 pembeli terkesan dengan situasi tersebut di mana projek yang dimulakan sejak 2016 itu masih belum siap malah sehingga hari ini tidak boleh diduduki.
"Isu mengenai projek terbengkalai ini telah dipanjangkan melalui surat yang dihantar beberapa kali kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini, namun tiada sebarang jawapan diterima.
"Kami rasa teraniaya kerana pemaju gagal menyiapkan projek ini mengikut perjanjian yang diberi," katanya.
Menurutnya, kediaman itu dibeli pada harga RM73,000 dan RM200,000 malah terpaksa melunaskan bayaran bulanan kepada pihak bank dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) walaupun kediaman masih tidak siap dan tidak didiami.
"Ada antara kami yang perlu membayar sewa bulanan rumah yang didiami sekarang. Ini menambahkan lagi beban kewangan pada kami dalam keadaan ekonomi sekarang. Rumah sewa perlu dibayar, manakala rumah yang tidak siap juga perlu dibayar.
"Projek ini sepatutnya telah siap dan diserahkan kepada kami pada 2018, namun sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!