Latihan masuk ‘gear tiga’
DUA jaguh pecut negara - Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi akhirnya kembali ‘berguru’ dengan bekas jurulatih mereka, Mohd Poad Md Kassim di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar, Johor mulai Selasa.
Mohd Poad berkata, Khairul Hafiz dan Haiqal yang masing-masing memenangi pingat emas acara 100 meter (m) pada Sukan SEA 2017 dan 2019 telah mendapat surat kebenaran daripada Majlis Sukan Negara (MSN) pada Isnin untuk berlatih bersamanya.
“Khairul Hafiz dan Haiqal akan terus menjalani latihan fasa pertandingan kerana sebelum ini mereka telah menjalani latihan di bawah kendalian (Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Dwayne Miller di Bukit Jalil.
“Cuma dalam kes Haiqal, saya akan berbincang dulu dengan dia untuk melihat situasinya kerana kita semua maklum, dia dalam proses recovery selepas mengalami kecederaan baru-baru ini.
“Sekiranya tiada masalah, Haiqal dan Khairul Hafiz akan menjalani latihan dengan ‘gear tiga’ sebagai persediaan mengharungi cabaran Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur pada 30 Mei depan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Pada Ogos tahun lalu, Khairul Hafiz dan Haiqal terpaksa berpisah dengan Mohd Poad apabila KOM mengarahkan mereka menjalani latihan secara berpusat di bawah kendalian Miller di Bukit Jalil.Bagaimanapun, mereka menyuarakan hasrat untuk kembali ke pangkuan Mohd Poad bagi meningkatkan prestasi masing-masing selepas lebih setahun tidak beraksi di pentas kompetitif.
Demi kemajuan prestasi kedua-dua jaguh pecut negara itu, KOM membuat keputusan melepaskan Khairul Hafiz dan Haiqal untuk kembali menjalani latihan bersama Mohd Poad - individu yang bertanggungjawab mencungkil bakat mereka.
Dalam pada itu, Mohd Poad berkata, Terbuka Kuala Lumpur akan menjadi pentas terbaik untuk mempersiapkan kedua-dua atlet tersebut sebagai persediaan menghadapi Terbuka Malaysia pada Jun depan.
“Persediaan untuk Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur ini akan menjadi cabaran besar. Namun, saya yakin dengan perancangan rapi...Insya-ALLAH, mereka mampu kembali semula ke prestasi terbaik masing-masing.
“Terbuka Kuala Lumpur ini adalah fasa penting buat Khairul Hafiz dan Haiqal mendapatkan semula rentak mereka sebelum berdepan cabaran sebenar pada Terbuka Malaysia,” ujarnya.
Khairul Hafiz yang merupakan pemegang rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.18 saat (s) meraih emas pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur sebelum Haiqal ditabal Raja Pecut Asia Tenggara (10.35s) dalam edisi 2019 di Filipina.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!