Dana RM70 juta untuk integrasi, pembangunan sistem daftar vaksin
PUTRAJAYA - Peruntukan RM70 juta bagi Integrasi Data dan Sistem Janji Temu adalah melibatkan integrasi dan pembangunan sistem pengantara bagi memudahkan proses pendaftaran penerima vaksin serta pemantauan bekalan vaksin daripada penerimaan sehingga selesai vaksinasi dos lengkap di setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, antara sistem yang akan dibangunkan bagi Integrasi Data dan Sistem Janji Temu itu adalah pengurusan dan pemantauan pencapaian program imunisasi dan pembangunan ‘dashboard’ pelaporan harian.
Menurutnya, turut akan dibangunkan ialah integrasi sistem bagi menghubungkan pangkalan data MySejahtera dengan sistem sedia ada farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pembangunan sistem Chatbot, pembangunan laman portal pendaftaran vaksin, dan sistem pengurusan logistik dan rangkaian penghantaran vaksin, katanya.
“Ia turut melibatkan pembangunan integrasi sistem pasport digital dalam MySejahtera, perolehan sistem pengurusan Queue Mobile untuk PPV dan penghantaran SMS dan panggilan telefon bagi peringatan vaksinasi antara lima hingga 10 kali peringatan bagi setiap orang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kenyataan itu dibuat bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan di media sosial mengenai peruntukan RM70 juta untuk Integrasi Data dan Sistem Janji Temu.
"Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan berlangsung sepanjang tahun ini yang pastinya memerlukan sejumlah peruntukan yang mencukupi bagi membolehkan ia dilaksanakan dengan sempurna dan tersusun," menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!