Polis Perak perketat 27 sekatan jalan menjelang Aidilfitri

DATUK MIOR FARIDALATHRASH WAHID
DATUK MIOR FARIDALATHRASH WAHID
A
A
A

IPOH - Polis Perak akan memperketatkan lagi sekatan jalan raya (SJR) di 27 laluan keluar masuk di negeri ini bagi mengekang pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran oleh mana-mana individu menjelang sambutan Aidilfitri, bulan depan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya akan meningkatkan SJR di kawasan-kawasan yang bersempadan dengan negeri ini iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Pahang dan Selangor.

"Buat masa ini belum ada keputusan yang dibuat oleh kerajaan mengenai prosedur operasi standard (SOP) untuk sambutan Aidilfitri, jadi kita masih lagi meneruskan tugasan seperti biasa terutama sekali di SJR bagi memastikan tiada pergerakan rentas negeri sepanjang tempoh Ramadan dan menjelang hari raya ini.

"Seperti kita sedia maklum, Perak kini mempunyai kadar jangkitan menurun kepada dua digit. Jadi, kita perlu kekalkan momentum tersebut dengan memastikan tiada pergerakan dari luar masuk ke negeri Perak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program agihan juadah berbuka dan penyerahan sumbangan untuk warga Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Ibu Pejabat Kontinjen Perak di sini pada Rabu.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, tiada keperluan untuk pihaknya membuat pemeriksaan rumah ke rumah bagi mengesan individu yang tidak mematuhi larangan rentas negeri pada sambutan Aidilfitri.

"Insya-ALLAH, kita tidak akan adakan pemeriksaan rumah ke rumah sekiranya kita berjaya menyekat mana-mana pihak datang ke Perak,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!