Sultan Nazrin berangkat ke Majlis Nuzul Al-Quran
IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri di Masjid Sultan Idris Shah II di sini pada Rabu.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri yang mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.
Majlis bermula dengan aluan bacaan al-Quran diikuti dengan Majlis Tahlil dan Doa Selamat sebelum baginda berkenaan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama lebih 300 yang hadir.
Baginda kemudiannya berangkat menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan bantuan hari raya daripada dana zakat MAIPk berjumlah RM7,724,000 kepada 12 penghulu yang mewakili 31,296 penerima dari seluruh negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!