Latihan penuh skuad badminton negara pada Jumaat
PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choon Hann mengesahkan skuad badminton negara hanya akan menjalani latihan penuh pada 30 April sebagai persediaan bagi mengharungi Terbuka Malaysia mulai 25 hingga 30 Mei depan.
Choong Hann berkata, skuad badminton negara hanya menjalani latihan ringan selain diberikan taklimat mengenai latihan yang akan diadakan mulai 30 April pada hari pertama sesi latihan yang diadakan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Selasa.
“Apa yang saya boleh katakan buat masa ini, semua pemain tidak menjalani latihan penuh (full training), pada hari pertama latihan diadakan semula di ABM sejak sesi latihan ditangguhkan sementara dua minggu lalu.
“Semua pemain hadir pada hari pertama, kecuali Lee Zii Jia yang dalam proses kuarantin. Dia bukan pemain yang dijangkiti cuma dia dinasihatkan untuk menjalani proses kuarantin kerana dikhuatiri menjadi kontak rapat.
“Dia akan kembali menyertai latihan mulai 30 April ini sebagai persediaan kerana sudah agak lama dia tidak berlatih sejak memenangi Seluruh England pada 21 Mac lalu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Seramai enam pemain di ABM disahkan positif Covid-19 pada 17 April manakala pada 23 April lapan lagi pemain pelapis disahkan positif ketika melakukan saringan pada 20 April dan seorang lagi didapati positif Sabtu lalu.
Bagaimanapun, enam pemain dalam kumpulan pertama dijangkiti virus itu telah discaj dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dan kembali ke kediaman masing-masing.
Sementara itu Choong Hann berkata, kesemua pemain termasuk yang menjalani perintah kuarantin akan tetap menjalani latihan seperti biasa di ABM sebagai persediaan bagi mengharungi Terbuka Malaysia dari 25 hingga 30 Mei dan Terbuka Singapura dari 1 hingga 6 Jun.
“Semua pemain akan menjalani latihan bersama-sama mulai 30 April ini dan kita pun telah mendapat kebenaran untuk berlatih daripada pihak Kementerian Kesihatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!