Keputusan berani, adil buat pelajar
SHAH ALAM - Keputusan kerajaan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sepenuhnya dan membatalkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini disifatkan sebagai langkah berani yang memberi keadilan kepada pelajar terlibat.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, ini kerana tempoh pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka bagi setiap pelajar adalah berbeza ketika pandemik Covid-19.
Menurutnya, keputusan itu tentunya sudah dijangka dan pengumuman yang dibuat pada suku pertama tahunan juga satu tindakan wajar.
“Saya rasa ramai dalam kalangan ibu bapa mungkin tidak terlalu terkejut apabila pengumuman dibuat secara rasmi pada waktu ini.
“Ia tidaklah begitu mengejutkan berbanding jika diumumkan pada hujung tahun.
“Difahamkan, keputusan ini hasil kajian dan libat urus pelbagai pihak dan pemegang taruh, jadi saya rasa ini satu pendekatan yang berani dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak selain menyambutnya dengan sikap yang terbuka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Mohamad Ali berkata, setiap pelajar, guru dan ibu bapa perlu menerima perubahan cara penilaian dan pentaksiran PT3 kali ini yang berbeza daripada biasa.
“Jika dahulu penilaian hanya mementingkan pencapaian akademik dalam kertas peperiksaan, namun dengan pentaksiran baharu ini, unsur psikometri dan lain-lain (sebagai contoh pemikiran aras tinggi), turut akan disuntik di dalamnya.
“Justeru, guru-guru mesti lebih adil dan saksama dalam membuat penilaian berdasarkan pentaksiran baru ini.
“Saya percaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah menyediakan garis panduan dan latihan semula untuk meyakinkan lagi bahawa sistem baharu ini lebih utuh dan lebih dapat diterima oleh mana-mana pihak,” katanya.
Pada Rabu, KPM mengumumkan pemansuhan UPSR sepenuhnya bermula tahun 2021, manakala PT3 untuk tahun 2021 dibatalkan.
ARTIKEL BERKAITAN: UPSR mansuh sepenuh, PT3 dibatalkan tahun ini
Mansuh UPSR: KPM perkasa Pentaksiran Bilik Darjah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!