Wanita warga asing palsukan borang rentas negeri ditahan

Dokumen yang dipalsukan wanita berkenaan dalam cubaanya untuk rentas negeri pada Selasa. Gambar kecil: Zaiham
Dokumen yang dipalsukan wanita berkenaan dalam cubaanya untuk rentas negeri pada Selasa. Gambar kecil: Zaiham
A
A
A

BENTONG- Seorang wanita warga asing ditahan kerana disyaki memalsukan borang rentas negeri.

Wanita berusia 38 tahun yang menaiki bas dari Kuala Lumpur menghala ke Kuantan bersama 16 penumpang lain diperiksa di sekatan jalan raya (SJR) Tol Bentong di sini, kira-kira jam 11.30 pagi pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil pemeriksaan ke atas borang rentas negeri yang dikemukakan wanita itu agak meragukan dan disyaki telah dipalsukan.

Menurutnya, hasil siasatan awal, wanita itu mengaku dia mendapatkan borang rentas negeri yang dikeluarkan sebuah balai polis dari seorang rakan.

"Curiga dengan penjelasan wanita tersebut, pihak polis telah menghubungi balai polis berkenaan dan hasil semakan mendapati tiada nombor siri sebagaimana pada pada borang tersebut.

"Wanita itu kemudiannya mengaku borang itu dipalsukan dengan cara mengimbas dokumen asal yang diterima dari rakan dan disalin untuk digunakan kembali,"katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Zaiham berkata, wanita itu ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Jika sabit kesalahan, individu terlibat berdepan hukuman denda RM4,000 jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya kesalahan itu melibatkan perbadanan atau syarikat, denda dikenakan RM20,000,"katanya.

Tambah beliau, orang ramai diingatkan supaya tidak sesekali mengemukakan borang rentas negeri yang diubahsuai dengan niat memalsukan dokumen tersebut semata-mata untuk rentas negeri.

"Pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang berbuat demikian.

"Kita juga akan mengetatkan pemeriksaan di semua SJR antara negeri dalam daerah ini terutama melibatkan sekatan di sempadan Selangor dan Negeri Sembilan,"katanya.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memastikan penularan pandemik Covid-19 dapat dikawal memandangkan Tol Bentong terutamanya merupakan laluan utama ke Pantai Timur khususnya dari Lembah Kelang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!