Ada yang setuju, ada yang tidak setuju
MACAM-macam maklum balas Merak Jalanan baca di laman sosial apabila pihak kerajaan buat keputusan mansuhkan sepenuhnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai tahun ini.
Sudah tentu, kalangan ibu bapa pantas memberi respons mereka. Boleh kata 50-50. Ada yang bersetuju, ada juga yang tak bersetuju. Masing-masing memberi pendapat mereka dan tampil dengan hujah-hujah atas keputusan yang dibuat kerajaan itu.
Malah, kalangan guru juga tidak terkecuali dalam memberi hujahan mereka. Bagi yang bersetuju, mereka menganggap ia satu pendekatan positif.
Kata mereka, bila UPSR dimansuhkan, guru tidak lagi hanya berorientasikan peperiksaan semata-mata tetapi lebih fokus kepada kemenjadian murid dalam pelbagai bidang.
Bagi yang tak bersetuju atau kurang bersetuju, mereka berpendapat UPSR penting bagi menilai prestasi murid dari Tahun Satu hingga Tahun Enam. Bagi mereka, UPSR masih relevan bagi menilai kemampuan dan kebolehan murid sepanjang enam tahun menuntut di sekolah rendah.
Dalam hal ini, Merak Jalanan melihat ada baik dan buruknya. Jika dilihat dari sisi positif, tekanan yang dialami murid pasti berkurangan. Mereka tidak perlu lagi menjadikan ‘A’ sebagai kayu pengukur untuk menilai prestasi akademik.
Tetapi bila dilihat dari sisi negatif, ia bakal mengundang budaya kurang persaingan sihat dalam kalangan murid di dalam bilik darjah.
Jika UPSR dikekalkan, pasti mereka lebih bersedia kerana menganggap UPSR ujian penting sebelum melangkah ke alam persekolahan menengah.
Apa pun keputusan mansuhkan sepenuhnya UPSR sudah pun dibuat. Merak Jalanan percaya Kementerian Pendidikan sudah 'fikir panjang' sebelum menentukan hala tuju UPSR dalam peta sistem akademik di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!