Parti pembangkang dianaktirikan
SALAH satu barah besar sistem politik tanah air adalah penganaktirian parti pembangkang oleh parti kerajaan. Ia menafikan peluang parti pembangkang untuk bersaing secara membina dan memberi sumbangan kepada rakyat, malah boleh mengumpan wakil rakyat pembangkang untuk melompat menyertai kerajaan.
Ada tiga cara parti pembangkang boleh dianaktirikan di negara ini – melumpuhkan Parlimen, menafikan dana pembangunan kawasan dan membolehkan pendakwaan/kekebalan terpilih mengikut keahlian parti.
Ahli Parlimen terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu menteri dan timbalan menteri, backbenchers (penyokong) kerajaan dan pembangkang.
Semakan dan imbangan Parlimen hanya terjadi apabila kedua-dua backbenchers kerajaan dan wakil rakyat pembangkang – dinamakan ‘ahli persendirian’ – mempunyai hari bersidang yang cukup panjang untuk meneliti rang undang-undang (RUU) dan berbahas, duduk dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) yang membayangkan setiap kementerian dan boleh menggubal undang-undang melalui RUU ahli persendirian.
Tanpa kesemua ruangan itu untuk wakil rakyat bukan menteri benar-benar menggubal undang-undang dan melakar dasar, maka Parlimen tersebut tidak lebih daripada pak turut yang mengesahkan segala keputusan Eksekutif macam ‘cap getah’ (rubber stamp). Juga senanglah untuk ditohmahkan pembangkang sebagai tin kosong atau anasir pengacau.
Selain bertikam lidah dalam arena dasar, wakil-wakil rakyat juga bersaing dalam memberikan perkhidmatan kepada pengundi dan orang ramai.
Dengan memberikan dana pembangunan kawasan kepada wakil rakyat kerajaan dan tidak kepada wakil rakyat pembangkang, maka senanglah ditohmahkan bahawa wakil rakyat pembangkang tidak prihatin atau tidak berupaya dan tidak dipatut diberi undi lagi.
Akhir sekali, apabila Peguam Negara berdwifungsi sebagai penasihat undang-undang kerajaan dan juga pendakwa raya, tidak hairanlah berlaku pendakwaan atau kekebalan terpilih.
Justeru mudah untuk mempelawa wakil rakyat pembangkang yang takut ada kes rasuah, kes rogol, kes lari cukai dan sebagainya menyertai kem kerajaan.
Apabila Parlimen seolah-olah pesawat yang ada tiga darjat – kelas pertama (menteri dan timbalan menteri), kelas perniagaan (backbenchers kerajaan) dan kelas ekonomi (wakil rakyat pembangkang), tidak hairanlah ramai wakil rakyat pembangkang telah melompat macam katak ke kolam kerajaan untuk ‘naik taraf’ tempat duduknya.
Ia sememangnya menguntungkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) selama 61 tahun sampailah ia menjadi mangsa sebagai pembangkang untuk 22 bulan.
Kalau kita tidak berfikir panjang seperti orang yang membeli takaful dengan menyediakan lapangan permainan yang sama rata, sebaliknya terlalu yakin bahawa nasib sentiasa akan memihak diri tarungan demi tarungan, maka kita susah apabila kehabisan tuah. Tamak nak untung besar, akhirnya rugi besar. Itu karma namanya.
Sayangnya, Pakatan Harapan (PH) juga tidak bersungguh-sungguh menghapuskan penganaktirian kepada pembangkang. 10 buah PSSC ditubuhkan tetapi cuma 20 daripada 70 kerusi diberikan kepada UMNO, Pas dan GPS.
Wakil rakyat pembangkang dapat dana RM100,000 setahun tetapi dana wakil rakyat kerajaan diberikan RM800,000 (2018), kemudiannya RM1.8 juta (2019) dan akhirnya RM3.8 juta (2020).
Fungsi pendakwa raya juga tidak dipisahkan daripada Peguam Negara.
Maka, apabila PH jatuh, sebahagian wakil rakyatnya pun menjelma menjadi katak. Itu juga karma namanya.
Bilakah parti-parti Malaysia akan bijaksana mengukur pasang-surut air dan daripada percaya tuah sentiasa memihak dirinya seperti kaki judi, menyokong layanan adil untuk pembangkang seperti membeli takaful untuk dirinya?
Menangkap ikan di longkang,
Dapat kura-kura simpan di mana?
Pantang tindas pembangkang,
Nanti sendiri yang terkena.
* Profesor Wong Chin Huat ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!