Tinggal kerjaya demi keluarga
BATU PAHAT - Berkorban dengan berhenti bekerja demi menjaga keluarga bukanlah satu keputusan yang mudah, namun ia menjadi 'saham akhirat' demi orang tersayang.
Durul Asharah Dazar, 38, berkata, dia mengambil keputusan untuk berhenti bekerja pada November tahun lalu dan kembali ke kampungnya di Kampung Sungai Dulang Darat, Batu Pahat setelah kesihatan ibunya, Yatemi Karsan, 68, merosot.
Durul berkata, keputusan itu terpaksa dibuat memandangkan ibunya menghidap penyakit buah pinggang dan lemah jantung, selain menghidap kanser payudara.
"Ayah saya, Dazar Suarman, 71, adalah bekas jurugambar sambilan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) Biro Johor namun kesihatannya juga merosot kerana kanser perut yang dihadapinya.
"Kakak saya, Sariah Dazar, 39, yang menetap bersama mereka pula tidak mampu menjaga ayah dan mak sebab dia sendiri adalah orang kurang upaya (OKU) dan perlukan penjagaan dan perhatian khusus," katanya.
Namun takdir Ilahi, ayah Durul kembali ke rahmatullah pada 2 Januari lalu, disusuli ibunya 10 hari kemudian.
Walaupun masih dilanda kesedihan, gadis ini mengakui perlu terus kuat demi kakaknya yang masih memerlukan perhatian dan kasih sayangnya.
Sementara itu, nasib Durul dan kakaknya mendapat perhatian daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) yang turun padang bagi menyampaikan bantuan.
Pegawai Jejak Asnaf MAIJ, Nasir Ishak berkata, bantuan segera sebanyak RM5,000 secara 'one off' diberikan kepada keluarga berkenaan untuk membeli barangan keperluan.
"Sebenarnya, bapa Durul pernah berkhidmat dengan MAIJ. Kita rasa terpanggil untuk membantu keluarga ini dan dia dan kakaknya layak menerima bantuan.
"Kita juga memberikan bantuan lain seperti barangan elektrik, tilam dan keperluan rumah untuk kemudahan dua beradik ini, selain itu mereka akan menerima bantuan bulanan sebanyak RM400 sebulan.
"Saya difahamkan kedua-duanya juga menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dengan bantuan yang ada ini, diharapkan akan dapat meringankan beban mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!