Selamat tinggal UPSR
KUALA LUMPUR - Selepas tiga dekad dilaksanakan bagi menguji kognitif pelajar sebelum menamatkan persekolahan di peringkat rendah, tiba masanya untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mengundur diri daripada sistem peperiksaan negara.
Pengumuman Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin tentang pemansuhan peperiksaan UPSR pada petang Rabu (28 April) memberi kesan yang signifikan dalam usaha mentransformasikan peperiksaan secara tradisional kepada kaedah penilaian yang lebih baik.
Ini kerana sejak UPSR dimulakan pada tahun 1988 bagi menggantikan Penilaian Darjah Lima, jutaan murid telah menduduki peperiksaan ini yang dikatakan amat penting bagi menentukan hala tuju pelajar yang bakal memasuki sekolah menengah.
Keputusan peperiksaan UPSR menjadi sandaran untuk pelajar memasuki sekolah terpilih seperti sekolah berasrama penuh mahupun Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang menjadi kebanggaan dalam melahirkan pelajar cemerlang dalam bidang akademik.
Justeru, pihak sekolah biasanya akan berlumba-lumba 'menghasilkan' pelajar dengan keputusan cemerlang melalui jumlah A yang diperoleh dalam semua mata pelajaran UPSR, manakala ibu bapa pula akan menekankan anak mereka bagi memastikan sasaran yang ditetapkan tercapai.
Bagi pelajar yang mencapai sasaran jumlah A yang banyak, mereka akan diraikan dan diberikan pujian serta pelbagai penghargaan diberikan berbanding yang kurang cemerlang biasanya akan disisihkan.
Situasi yang sudah berkurun lama berlaku ini sebenarnya banyak memberi impak kepada komuniti pelajar kurang cemerlang khsusunya dalam perihal pembangunan sahsiah diri apabila mereka mula tidak percaya dengan kebolehan diri, takut untuk mencuba benda baharu serta sentiasa beranggapan diri sebagai ‘individu tidak berjaya’.
Hakikatnya, pembelajaran berorientasikan peperiksaan sudah lama menjadi ‘kudis’ dalam sistem pendidikan yang sekian lama dan sering kali menjadi perdebatan mahupun perbincangan hangat dalam kalangan pakar akademik.
Biarpun, cadangan memansuhkan UPSR juga bukan merupakan sesuatu yang baharu sebaliknya sudah kedengaran sejak lebih 10 tahun lalu bagi mengurangkan beban terutamanya kepada pelajar yang masih terlalu muda untuk diasingkan potensi mereka melalui pencapaian UPSR.
Malah, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) juga telah berulang kali membangkitkan isu pemansuhan UPSR dengan meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi fokus kepada kemenjadian serta pendidikan murid secara lebih menyeluruh dan bukannya melalui UPSR yang dilihat sangat terhad dalam mengukur keupayaan pelajar.
Oleh itu, pengumuman bersejarah yang semestinya sudah lama ditunggu-tunggu ini tentang pemansuhan UPSR, pastinya boleh dianggap sebagai satu kejayaan besar kepada usaha dan perjuangan mengubah sistem pendidikan negara terutamanya dalam aspek penilaian pelajar.
Sejajar dengan langkah yang diputuskan KPM itu, Radzi turut menjelaskan tentang usaha pemerkasaan pentaksiran berasaskan sekolah selain Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi murid yang berhasrat memasuki sekolah berasrama penuh untuk dilaksanakan sepenuhnya.
Usaha ini akan mengetepikan peperiksaan secara tradisional dengan menggantikan pemikiran baharu yang disesuaikan dengan perubahan semasa.
Apabila pandemik Covid-19 melanda dunia dan negara, tindakan ke arah pemansuhan ini dapat dipercepatkan apabila bentuk peperiksaan yang telah dilaksanakan sejak 33 tahun lalu terpaksa ditangguhkan pada tahun lalu, sekali gus menyebabkan desakan semakin kuat kedengaran bagi meminta KPM memansuhkan peperiksaan ini.
Keadaan ini memberi satu paradigma bahawa kita tidak boleh lagi menunggu dalam bentuk peperiksaan yang sebenarnya kerana ia sudah ketinggalan dari segi pengalamannya, menurut Dr Anuar Ahmad dari Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
"Perlaksanaan UPSR sejak sekian lama didapati tidak memberi manfaat besar kepada perkembangan pendidikan pelajar kerana pengukuran yang tidak holistik terutamanya dalam membangunkan keupayaan keseluruhan pelajar khususnya dari aspek minat dan kebolehan mereka.
“Adalah tidak wajar mengkategorikan keupayaan murid-murid pada peringkat yang terlalu awal dan dengan pemansuhan ini sekali gus akan membuka peluang untuk pendidikan negara memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dan potensi, bukannya akademik pada awal usia murid-murid,” katanya.
Sememangnya, ramai yang bersetuju pada awal usia tujuh hingga 12 tahun, persekolahan kanak-kanak tidak sepatutnya dibebankan dengan pembelajaran berasaskan peperiksaan.
Pada waktu ini, perkembangan kognitif mereka baharu bermula dengan emosi yang sedang berkembang serta tingkah laku yang sedang disusun dengan pembentukan nilai dalam diri.
“Terlalu awal untuk menghukum anak yang sepatutnya pada usia 7 hingga 12 tahun, adalah waktu mereka menunjukkan potensi, minat, kebolehan, keinginan dan kecenderungan.
“Tetapi, apa yang berlaku dalam sistem pendidikan di sekolah rendah, anak yang sedang berkembang terutamanya dalam aspek mengenali diri mereka, telah pun ditekan dengan satu sistem pendidikan sekolah yang sangat ‘rigid’ (tegar) dengan subjek yang khusus, penjadualan yang ketat, sehinggakan segala minat dan keseronokan pembelajaran dan persekolahan tidak dapat dilaksanakan,” katanya.
Oleh itu, penganalisis pendidikan ini mencadangkan agar agenda pembangunan bakat murid haruslah dibangunkan melalui aktiviti kokurikulum yang perlu diangkat sama penting dengan aktiviti pembelajaran di dalam bilik darjah.
Katanya, pelajar sepatutnya dibangunkan bakat dan minat mereka mengikut kecenderungan dengan lebih berkesan dan terancang.
"Konsep pembelajaran latih tubi dan penghafalan dalam kurikulum sekolah yang sudah tidak sesuai perlu digantikan dengan menyediakan modul pembelajaran yang memerlukan pelajar melakukan penyelesaian masalah, kreativiti, komunikasi serta kolaborasi.
"Apabila pendidikan yang diterima dan dipelajari di sekolah penuh keseronokan dengan mencakupi aspek rohani, jasmani, intelek dan sosialisasi, sudah pasti pembelajaran akan menjadi satu keseronokan di sekolah serta tidak jumud dan mampan sepanjang zaman," jelasnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!