Mansuh UPSR: Ke arah pendidikan lebih maju
SHAH ALAM - Langkah kerajaan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) perlu diterima dengan positif dan dilihat sebagai satu usaha membawa pendidikan negara maju ke hadapan.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu membolehkan guru menggunakan kerangka fikir yang lebih universal untuk mencungkil bakat dan potensi murid.
Menurutnya, ia juga sesuai dengan usaha memperkembangkan murid selari dengan keperluan pendidikan abad 21 dan negara menuju Revolusi Perindustrian (IR 4.0).
“Pengumuman pemansuhan UPSR oleh Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengesahkan keputusan KPM sebelum ini untuk memansuhkan UPSR kepada satu bentuk pentaksiran baharu yang lebih holistik dan memenuhi aspirasi falsafah pendidikan kebangsaan.
“Ia merupakan keputusan yang strategik dari sesi libat urus KPM dengan semua pihak berkaitan pendidikan. Kita harap keputusan ini melegakan ibu bapa yang bimbang terhadap peperiksaan UPSR,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada Rabu, Mohd Radzi mengumumkan pemansuhan UPSR bermula tahun ini dan menggantikannya dengan kaedah pentaksiran murid Tahun 6 yang akan memberi tumpuan pada pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Beliau berkata, kemasukan ke asrama untuk 2022 akan dilakukan berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).
ARTIKEL BERKAITAN: Mansuh UPSR: KPM perkasa Pentaksiran Bilik Darjah
Mohd Radzi juga memaklumkan keputusan pemansuhan UPSR itu dibuat selepas mendapat pandangan lebih 1,700 peserta membabitkan guru, ibu bapa, murid serta kesatuan dan persatuan seluruh negara dalam pelbagai sesi yang diadakan.
Pada masa sama, Mohd Azizee turut menggesa KPM supaya memantapkan sistem pendidikan sedia ada dengan penambahbaikan dari sudut pedagogi untuk mengelak keciciran murid.
Bagaimanapun katanya, KPM perlu menjelaskan konsep pentaksiran baharu supaya dapat difahami semua pihak supaya pelaksanaan itu berjalan secara terancang.
“Guru juga diharap dapat memantapkan dan meningkatkan kompetensi diri dalam penguasaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) supaya keberkesanan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) mencapai objektif dalam pengukuran dan penilaian murid.
“iGuru juga mencadangkan sistem PKSK ditambah baik dari masa ke masa untuk melihat kemenjadian murid ke sekolah khusus sama ada mereka benar- benar layak dan memenuhi objektif kewujudan sekolah tersebut,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!