KhairulAming ambil tindakan penciplak Sambal Nyet Berapi
SHAH ALAM - Chef selebriti media sosial, Khairul Amin Kamarulzaman, 29, akan membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap penciplak Sambal Nyet Berapi keluarannya.
Khairul Amin atau lebih dikenali sebagai KhairulAming mendakwa terdapat pihak tidak bertanggungjawab menciplak dan menjual produk yang tidak berkualiti kepada pelanggan dengan menggunakan jenama sambalnya.
"Ada 'reseller' Sambal Nyet Berapi yang jual sambal basi, bekas pecah dan berair. Saya tidak rasa ini sambal keluaran saya. Saya telah meminta kawan menyamar dengan membeli sambal ini untuk menyiasat secara terperinci.
"Saya boleh tunjuk bukti beberapa sebab yang menjelaskan ia bukan sambal keluaran saya.
"Logo yang difotostat, 'font' kandungan yang sangat 'blur', tekstur sambal yang berbeza (ada minyak hitam) dan bau macam minyak goreng ikan," katanya menerusi rakaman video berdurasi lebih tujuh minit di Instagramnya pada Rabu.
Justeru, KhairulAming merayu kepada pembeli supaya membeli Sambal Nyet Berapi secara terus daripada pasukannya dan bukan melalui penjual bagi mengelakkan ditipu.
"Saya tidak faham kenapalah ada penjual macam ni. Setiap hari ada yang Direct Messege (DM) 'kenapa sambal awak basi', 'sambal berbuih'.
"Saya kecewa! Pasukan saya membuat yang terbaik untuk menghasilkan Sambal Nyet Berapi berkualiti," kata beliau.
KhairulAming turut memuat naik di Twitternya dan menyebut individu yang juga didakwa menggunakan namanya untuk melariskan sambal tiruan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!