Gesa polis, SKMM ambil tindakan isu hina Nabi
JOHOR BAHRU - Susulan tular satu paparan muat naik sebuah akaun Facebook menghina Nabi Muhammad SAW, seorang individu tampil membuat laporan polis.
Laporan polis tersebut dibuat oleh Ahmad Akmal M Tahrir di Balai Polis Tampoi, di sini.
Ahmad Akmal berkata, beliau menyedari mengenai muat naik di akaun Facebook yang menghina Nabi Muhammad SAW itu sekitar jam 9 pagi tadi, ketika berada di rumahnya.
"Saya rasakan amat melampau kerana menghina baginda Nabi Muhammad SAW dengan gambar kartun yang disunting keterlaluan.
ARTIKEL BERKAITAN: Kes hina Rasulullah: Jaga sensitiviti agama lain
"Saya sebagai umat Islam yang begitu cintakan Nabi Muhammad SAW tidak mungkin hanya mendiamkan diri. Maka saya datang ke balai polis membuat laporan," katanya ketika ditemui di pekarangan Balai Polis Tampoi, di sini.
Ahmad Akmal berkata, beliau mahu pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melakukan siasatan terperinci ke atas pemilik akaun Facebook tersebut.
Katanya, tindakan tegas daripada pihak berkuasa juga amat diharapkan kerana budaya menghina agama Islam sudah semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
Terdahulu tular di media sosial khususnya paparan karikatur di Facebook yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Rata-rata netizen beragama Islam turut memuat naik komen yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pemilik akaun tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!