SOP 'dua darjat' tidak harus berlaku

Ema Syuhaili Mohd Sukor
Ema Syuhaili Mohd Sukor
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dan kompaun 'dua darjat' tidak harus berlaku hingga menimbulkan kemarahan orang ramai apabila layanan terhadap rakyat biasa tidak sama rata dengan golongan atasan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Ema Syuhaili Mohd Sukor berkata, banyak contoh diberikan, seperti peniaga-peniaga kecil, jawatankuasa masjid atau pelajar yang diberi kompaun serta-merta dengan jumlah nilai amat besar.

Katanya, bagi golongan kenamaan dan terkenal (VIP) pula, layanan yang kelihatan seolah-olah istimewa diberikan, seperti denda yang kecil atau siasatan yang mengambil masa terlalu lama.

"Perkara ini tidak seharusnya berlaku. Komitmen kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah suatu pentadbiran prihatin rakyat, adil saksama dan juga berintegriti. Jadi, pelaksanaan dasar-dasar di peringkat jentera penguatkuasaan perlu mencerminkan komitmen kepada keadilan.

"Rakyat perlu melihat bahawa tiada pelaksanaan undang-undang berbeza bagi darjat berbeza. Jika penguat kuasa bertindak berlebihan, reputasi buruk akan terpalit kepada kerajaan PN walaupun anggota penguat kuasa melakukan amanat sebagai penjawat awam," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, Ema Syuhaili yang juga Pengerusi Srikandi Muda Bersatu berkata, teguran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mesti diambil perhatian oleh anggota penguat kuasa dengan mengambil pendekatan sentiasa berhemah dan bertimbang rasa dalam memastikan pematuhan SOP di kalangan rakyat.

"Saya amat setuju dengan teguran Tan Sri Muhyiddin dan mengulangi seruan beliau bahawa walaupun ketegasan itu penting untuk memastikan peraturan dipatuhi, pada masa sama perlu ada budi bicara dan perikemanusiaan dalam tindakan diambil agar usaha mendidik masyarakat lebih diterima.

"Apa yang lebih penting ialah pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang mestilah bersifat adil dan kelihatan adil tanpa membezakan darjat. Kesaksamaan dan timbang rasa haruslah dititikberatkan anggota penguat kuasa dengan mengambil kira keadaan dan konteks pelanggaran SOP," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ema Syuhaili berkata, pihaknya berharap semua rakyat tanpa mengira status dan darjat dapat mengharungi tempoh pandemik ini dengan mematuhi SOP ditetapkan melalui kesedaran dan bukannya hukuman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!