NBCT jadi tumpuan aktiviti transperkapalan
BUTTERWORTH - Penang Port Sdn Bhd (PPSB) yakin aktiviti transperkapalan di Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT), di sini akan menjadi tumpuan berikutan kawasan berkenaan telah diwartakan sebagai Zon Komersial Bebas (FCZ) pada 1 Februari lalu.
Berikutan itu, PPSB menyasarkan akan dapat menerima 50,000 unit bersamaan 20 kaki (TEUs) kontena bagi tahun pertama permulaan aktiviti itu pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSB, Datuk Sasedharan Vasudevan berkata, bagaimanapun sasaran itu bergantung kepada keadaan ekonomi global semasa yang tidak menentu ketika ini disebabkan pandemik Covid-19.
Menurutnya, sasaran itu adalah permulaan yang baik bagi pelabuhan berkenaan selain akan memperoleh nilai tambah seperti pengendalian gudang berteknologi tinggi yang akan meneraju pertumbuhan ekonomi positif di wilayah utara Malaysia.
"Ekoran pandemik Covid-19 kita memerhati setiap angka dengan berhati-hati namun kita tetap optimis untuk capai sasaran ini.
"Tambahan pula, kita juga berjaya belajar (hal aktiviti transperkapalan) ini kurang daripada dua bulan selepas pengumuman mewartakan NBCT sebagai FCZ,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pencapaian Ulung Operasi Transperkapalan Pertama di NBCT, di sini pada Khamis.
Hadir menyempurnakan majlis, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng.
Pada majlis berkenaan, PPSB menerima kontena transperkapalan pertama daripada Evergreen Marine Corp (Kapal Kontena Ever Chant) berjumlah 223 TEUs.
Difahamkan syarikat itu dikatakan antara tiga pelanggan terbesar PPSB buat masa ini.
Mengulas lanjut, Sasedharan berkata, pihaknya teruja apabila NBCT memperoleh status FCZ selepas lebih 30 tahun beroperasi yang ia akan menjadi pemangkin dan merancakkan lagi perniagaan perkapalan sekali gus dapat meneraju pertumbuhan ekonomi yang positif.
Sementara itu, Teik Cheng berkata, pihaknya percaya PPSB selaku operator pelabuhan mengenal pasti beberapa peluang untuk dimanfaatkan terutamanya dalam kegiatan transperkapalan dari pasaran Teluk Benggala ke Pulau Pinang.
“Berdasarkan kajian yang dibuat PPSB, jumlah pengendalian kontena pada tahun 2020 dari serantau Teluk Benggala adalah sekitar 8.1 juta TEUs.
“Oleh itu, dalam usaha ini selaras juga dengan pewartaan NBCT sebagai FCZ terdapat dasar pemberian insentif dalam menggalakkan lagi syarikat perkapalan untuk datang ke sini,” katanya.
Tambahnya, pada masa akan datang PPSB merancang untuk menghubungkan pihak perkapalan dari Teluk Benggala dengan operator perkapalan utama dalam merancakkan aktiviti perkapalan di NBCT.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!