'Pas pelik dengan pendirian PH'
SHAH ALAM - Pas pelik dengan pendirian seterunya mengenai hubungan baik parti Islam itu dengan UMNO.
Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, ini kerana seterunya itu dilihat tidak pernah senang dengan kehadiran Pas dan juga UMNO.
“Dulu mereka tuduh Pas sokong UMNO, habis jenis silat Pas menangkisnya.
“Sekarang bila dah betul-betul sokong, mereka pula bersilat tidak bagi Pas sokong UMNO,” katanya di Facebook miliknya.
Kenyataan yang dimuat naik bekas Ahli Parlimen Temerloh itu dipercayai merujuk kepada isu sokongan Pas kepada UMNO dalam menghadapi PRK Semenyih yang kini tidak disenangi kerajaan PH.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengulangi pengakuan bahawa parti Islam itu tidak akan menyokong UMNO pada PRK Semenyih.
Beliau berkata, pendirian itu dinyatakan Pas berikutan UMNO bukan melawan DAP, sebaliknya hanya menentang Bersatu.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu sidang media di Marang, Terengganu, pada hari sama, menyatakan Pas akan terus mengekalkan hubungan dengan UMNO atas dasar perpaduan ummah dan solidariti pembangkang.
Jelas Takiyuddin lagi, Pas juga mengambil pendirian untuk tidak bertanding dalam PRK DUN Semenyih dan memberi laluan kepada BN dengan tahap komitmen serta kadar penglibatan yang berbeza berbanding PRK Cameron Highlands sebelum ini.
ARTIKEL BERKAITAN: PRK Semenyih: Hubungan Pas-BN kekal
ARTIKEL BERKAITAN: Tun M ulangi Pas tak sokong UMNO di Semenyih
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!