PKRC Kampus Kesihatan USM dibuka minggu depan
KOTA BHARU - Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) keenam di Kelantan yang mampu menempatkan 500 pesakit sedang disiapkan dan dijangka mula beroperasi minggu depan.
Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob berkata, PKRC terbaharu, yang merupakan hasil kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) itu, bertempat di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, di sini.
"Pusat terbaharu dan terbesar setakat ini di Kelantan itu yang dikenali sebagai PKRC Kampus Kesihatan USM akan menempatkan 500 pesakit lelaki dari sekitar Kota Bharu serta dari mana-mana kawasan kluster pada satu-satu masa.
"Kerja-kerja penyediaan pusat ini bermula hari ini, sejumlah 250 katil dua tingkat sudah tiba dari Kuala Lumpur dan mula ditempatkan di pusat ini. Insya-ALLAH, kita jangka PKRC ini boleh dibuka pada 2 atau 3 Mei depan," katanya kepada Bernama di PKRC Kampus Kesihatan USM pada Khamis.
Pembukaan PKRC Kampus Kesihatan USM turut dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di laman Facebooknya.
Mengulas lanjut, Dr Mohd Azman yang juga Timbalan Pengarah Perubatan I Hospital Raja Perempuan Zainab II berkata, PKRC terbaharu itu perlu dibuka memandangkan kapasiti di lima lagi pusat yang sama sudah hampir penuh.
"Kapasiti di lima PKRC sudah hampir penuh, sebagai contoh di PKRC Kolej Jururawat Kota Bharu cuma tinggal satu katil kosong daripada 170 katil dan PKRC di Kompleks Belia dan Sukan, Panji pula cuma tinggal tujuh katil daripada 196 katil.
"Di Dewan Jubli Perak pula tinggal 35 katil daripada 150 katil dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) tinggal 55 katil daripada 200 katil yang disediakan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!