Kalau Einstein duduk di Malaysia?

A
A
A

MENGAPA budaya kreativiti dalam kalangan Mahasiswa kita begitu mengecewakan walaupun kursus kemahiran pemikiran kreatif diberi kepada mereka? Pelajar-pelajar dilatih dengan kemahiran-kemahiran berfikir kreatif aras tinggi. Kemahiran Lateral Thinking, Divergent - Convergent Thinking, Parallel Thinking dan macam-macamlah.

Tapi jangan rasa terkejut kalau pelajar yang score A pada peperiksaan dan menguasai semua kemahiran pemikiran kreatif sebenarnya tidak kreatif pun di dunia luar akademik! Mungkin pelajar yang score C pula yang lebih kreatif dari yang score A tadi.

Steve Jobs yang dianggap gergasi dunia Apple sebenarnya gagal semester pertama di kolej! Beliau dianggap pelajar berserabut, dan tidak mempunyai visi hidup. Beliau tidak mempunyai kelayakan akademik universiti pun. Bahkan beliau pernah lari ke India untuk mencari ketenangan spiritual!

Bill Gates, gergasi inovasi Microsoft, pernah belajar undang-undang di Universiti Harvard. Selepas dua tahun, beliau gagal ijazahnya kerana selalu ponteng kelas. Beliau hanya ulang kaji untuk peperiksaan pada saat-saat terakhir!

James Cameroon, pengarah terkenal yang melahirkan filem mega Titanic, juga gagal dalam pelajarannya. Selepas gagal, beliau pernah bekerja sebagai pemandu lori!

Mark Zuckerberg juga tidak memiliki ijazah. Beliau meninggalkan pelajarannya di Universiti Harvard untuk mencipta Facebook.

Terlalu ramai pemikir-pemikir kreatif lain yang berjaya, gagal dalam peperiksaan akademik seperti Buckminster Fuller, Frank Lloyd Wright, Tom Hanks, Harrison Ford dan pelajar sekolah yang paling teruk ialah Albert Einstein.

Einstein, seorang Yahudi, dianggap sebagai OKU cacat mental oleh guru-gurunya kerana susah untuk belajar bercakap walaupun sudah berumur 9 tahun. Dia seorang yang benci sekolah. Kebenciannya menjadikannya budak nakal nombor satu sekolah. Akhirnya beliau dibuang keluar kelas oleh gurunya!

Artikel Berkaitan:

Einstein pernah berusaha masuk pengajian diploma di sebuah kolej teknologi tetapi gagal dalam ujian kemasukan. Beliau kantoi dalam semua subjek kecuali Matematik.

Saya juga teringat Hamka. Ulama terulung dalam penulisan kreatif. Gergasi pemikiran kritis dan kreatif ini sebenarnya langsung tidak memiliki apa-apa kelayakan akademik. Saya tertanya-tanya apakah resipi rahsia pemikiran kreatif mereka ini yang pelajar-pelajar cemerlang saya tidak ada?

Ya, universiti-universiti hanya ajar kemahiran tetapi gagal tanamkan 'kegilaan' untuk berfikir kreatif. Einstein adalah dikenali sebagai saintis gila. Bahkan semua tokoh di atas akan dilabel 'gila' kalau mereka bersekolah di negara kita.

Saya pernah tanya soalan pedas ini, “Kalau OKU seperti Stephen Hawking, budak nakal sekolah seperti Einstein dan pelajar yang tidak konformis kepada budaya mainstream agama seperti Hamka (tidak dapat tauliah ajar agama di Johor), kalau semua tokoh ini lahir dan menerima pendidikan di Malaysia, adakah mereka akan diberi peluang untuk mencapai kejayaan masing-masing?”

Sejauh manakah budaya kreatif kita mencungkil potensi kreatif Hawking, Einstein dan Hamka kalau mereka ini rakyat Malaysia yang hanya belajar di Malaysia? Saya teringat nasib P Ramlee ketika berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur. Lagu terakhir beliau yang bertajuk Air Mata Di Kuala Lumpur jelas menunjukkan sejauh mana budaya kita meremehkan potensi kreatif individu.

Ajarlah pelajar sebanyak mungkin kemahiran berfikir pun tetapi kalau budaya tetap exam oriented dalam erti kata tidak mencungkil dan memperkasakan potensi individu, akhirnya pelajar score A akan menjadi burung patah sayap juga.

Inilah reformasi struktural Dr Maszlee ketika budaya kita meremehkan usaha pelik beliau yang bertekad untuk melahirkan OKU seperti Stephen Hawking, budak nakal seperti Albert Einstein dan ulama tanpa tauliah seperti Hamka.

Reformis struktural memang pelik kerana mereka menentang arus budaya. Persatuan guru baru sahaja sedar dan memuji usaha-usaha Dr Maszlee dalam reformasi struktural pendidikan. Media sudah mula memahami usaha luar kotak Dr Maszlee dalam menghapuskan peperiksaan, menggabungkan aliran Sains dan Sastera, dan menambah Manusiasi sebagai 'M' keempat dalam formula 4M.

Kreativiti aras tinggi adalah usaha 'gila berani' dalam mencipta peluang-peluang, perspektif-perspektif yang baharu dan pelik dengan mengambil risiko-risiko yang tinggi walaupun dicemuh oleh semua pada mulanya.

* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!