Remaja hilang jari angkara mercun

Seorang remaja hilang jari telunjuk dan tengah sebelah kanan selepas terkena letupan mercun bola dalam kejadian Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang pada Sabtu. - Foto Ihsan pembaca
Seorang remaja hilang jari telunjuk dan tengah sebelah kanan selepas terkena letupan mercun bola dalam kejadian Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang pada Sabtu. - Foto Ihsan pembaca
A
A
A

RANTAU PANJANG - Seorang remaja hilang jari telunjuk dan tengah sebelah kanan selepas terkena letupan mercun bola dalam kejadian Kampung Banggol Kulim, di sini, pada Sabtu.

Kejadian jam 8.30 malam itu berlaku apabila Aiman Hakim Che Ghani, 19, tidak sempat untuk membaling mercun bola tersebut yang kemudian meletup secara 'mengejut' sekali gus mendatangkan kecederaan kepadanya.

Abang mangsa, Khairul Azwan Che Ghani, 25, berkata, dia dan keluarga menyedari kejadian itu selepas mendengar Aiman Hakim mengerang kesakitan selain tangannya dipenuhi darah.

"Sejurus melihat keadaan Aiman Hakim, kami sekeluarga terus membawanya ke klinik berdekatan untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Menurutnya, bagaimanapun Aiman Hakim terpaksa dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu kerana mengalami kecederaan yang agak parah.

Khairul Azwan berkata, adiknya itu sebenarnya baru sahaja mencuba bermain mercun sepanjang Ramadan tahun ini.

Dia berkata, bagaimanapun Aiman Hakim terkejut apabila mercun itu meletup tanpa sempat dilepaskan daripada genggaman tangan.

"Kami adik-beradik bukan tidak pernah bermain mercun, mungkin kali ini tidak bernasib baik.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang perjalanan ke hospital dia hanya mengadu sakit mungkin kerana masih terkejut dengan apa yang terjadi," katanya.

Khairul Azwan berkata, dia dan keluarga bersyukur apabila Aiman Hakim kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani rawatan.

Katanya, ekoran kecederaan parah itu doktor memutuskan dua jari Aiman Hakim terpaksa dipotong.

"Aiman Hakim reda dengan keputusan pihak hospital dan menjadikan pengalaman itu sebagai iktibar.

"Saya nasihatkan kepada anak muda lain untuk berhati-hati dan tidak bermain mercun terutama di sepanjang Ramadan ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!