MAIS sumbang RM2.02 juta bantu golongan asnaf riqab

Hashim (kiri) menerima mock-up cek daripada pihak MAIS sebagai simbolik penyerahan sumbangan RM2.02 juta kepada Rumah Pemulihan Al-Riqab (RPA).
Hashim (kiri) menerima mock-up cek daripada pihak MAIS sebagai simbolik penyerahan sumbangan RM2.02 juta kepada Rumah Pemulihan Al-Riqab (RPA).
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyerahkan sumbangan RM2.02 juta kepada Rumah Pemulihan Al-Riqab (RPA) menerusi Geran Sukuan Pertama Tahun 2021 bagi membantu kebajikan golongan asnaf riqab.

Sumbangan yang menggunakan peruntukan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tersebut melibatkan sebanyak 27 buah RPA sekitar Selangor di bawah seliaan MAIS.

Antara RPA yang menerima bantuan ialah Rumah Pemulihan Akhlak Insani, Rumah Solehah, Rumah Bela Insan dan Rumah Perlindungan & Bimbingan Wanita Bayt Rahmah.

Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS, Tan Sri Hashim Meon pada Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Perdana Riqab MAIS 2021 di Laman Kayangan, di sini, pada Khamis.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, sumbangan tersebut bertujuan untuk membantu golongan riqab yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan, untuk menggalakkan mereka kembali ke pangkal jalan.

Menurutnya, golongan tersebut tersebut mendapat manfaat wang zakat melalui program pemulihan yang dilaksanakan oleh MAIS dengan dibantu badan bukan kerajaan (NGO) untuk mendidik dan membimbing mereka menjadi mukmin yang diredai.

"Bantuan keperluan hidup juga diberikan kepada golongan ini seperti bantuan sewa rumah supaya mereka boleh berhijrah ke tempat tinggal yang lebih baik untuk istiqamah dengan cara hidup bersyariat.

"Kami turut menyediakan bantuan kewangan bulanan kepada individu yang menjaga asnaf riqab bagi menggalakkan mereka menghadiri kelas bimbingan yang dianjurkan oleh MAIS," katanya di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad Shahir berkata, MAIS turut menyalurkan bantuan lain, antaranya modal perniagaan dan perubatan untuk meringankan beban kehidupan.

Ujarnya, pihak sentiasa MAIS prihatin terhadap golongan ini dengan menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan serta kesejahteraan ekonomi serta sosial masyarakat Islam selaras hukum syarak.

"MAIS berharap bantuan yang diberikan dapat digunakan sebaiknya oleh pengusaha RPA untuk menjalankan tanggungjawab sosial bagi memastikan golongan tersebut diberi perlindungan sewajarnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!