Shuib Sepahtu, kini bersama Hot FM
PIHAK pengurusan Ripple hari ini mengumumkan barisan hadapan terbaharu bagi stesen radio di bawah naungannya, Hot FM dengan kemasukan Shuib Sepahtu atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad ke dalam keluarga stesen terbabit berkuat kuasa hari ini.
Shuib akan bergandingan bersama Shuk dan Fizie untuk menerajui Geng Pagi Hot (GPH) yang ke udara setiap hari Isnin hingga Jumaat, dari jam 6 pagi hingga 10 pagi.
Sebagai personaliti yang berpengalaman dalam bidang hiburan termasuk pernah melibatkan diri dalam penyiaran radio, kemasukan Shuib dijangka bakal merancakkan suasana pagi pendengar Hot FM bersama Shuk dan Fizie.
GPH akan menampilkan pengisian yang lebih segar berdasarkan kisah-kisah menarik yang berlaku di kalangan para pendengar.
Bagaimana dlam masa yang sama, GPH masih mengekalkan segmen-segmen yang mendapat perhatian yang tinggi dan menjadi ikutan pendengar-pendengar, iaitu segmen Sketcah GPH, English GPH bersama Teacher Fati, Story Mory Jihan dan Kak Elo.
Sementara itu, El pula akan mengendalikan segmen Muzik Hot dari jam 10 pagi hingga 4 petang, manakala Deen dan Haziq akan bergandingan dalam segmen Jam Hot dari jam 4 petang hingga 8 malam.
Zetty yang merupakan satu-satunya penyampai wanita di Hot FM akan ke udara pada sebelah malam, dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam melalui segmen Mega Hot.
Rombakan yang dilakukan ini bersesuaian dengan usia stesen terbabit yang kini memasuki tahun ke-13 ke udara.
Menurut Ketua Audiens Melayu, Nik Nor Azura Nik Mahmood, Hot FM masih panjang evolusinya dan masih banyak idea yang ingin kami hidangkan kepada pendengar.
“Langkah ini diambil untuk sentiasa tampil dengan pembaharuan dan untuk mengukuhkan jenama Hot FM dari segi muzik, hiburan dan pengisian gaya hidup terkini.
“Perubahan yang dilakukan oleh Hot FM termasuk kemasukan Shuib adalah berdasarkan kekuatan setiap penyampai yang kami percaya mereka mampu menyampaikan isi kandungan yang telah ditetapkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!