Awas JDT!
KUALA Lumpur (KL) City FC bertekad mahu menjadi kelab kedua musim ini mencipta kemenangan ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.
Penyerang berpengalaman KL City FC, Indra Putra Mahayuddin berkata, skuad The Hawks itu mampu mengikut jejak langkah Terengganu FC (TFC) yang melakar kejutan menewaskan JDT 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu lalu.
“Memang diakui perlawanan menentang JDT ini adalah perlawanan yang sangat sukar memandangkan pasukan itu terdiri daripada pemain-pemain yang bagus dan berkualiti selain mereka berada pada tahap terbaik dalam saingan liga.
“Namun, tiada yang mustahil dalam bola sepak sekiranya kami memberikan persembahan terbaik dan beri komitmen yang tinggi ketika bertemu JDT, maka satu perlawanan sengit dan kemungkinan kami juga boleh mencipta kejutan.
“Malah, kejayaan Terengganu yang menundukkan JDT Sabtu lalu juga menjadi satu pembakar semangat kepada pasukan lain untuk turut sama mencipta keputusan positif bertemu JDT,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
KL City FC kini tekad untuk kembali berada di landasan kemenangan selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut kepada TFC dan Kedah Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Jika diukur prestasi semasa KL City FC, tampak mustahil untuk mereka melakar kemenangan ke atas JDT yang pastinya sedang mencari penawar duka selepas tewas mengejut kepada TFC.
Bagaimanapun, Indra Putra, 39, yang dianggap antara ‘otai’ Liga Malaysia (Liga-M) percaya faktor bermain di laman sendiri juga akan memberikan kelebihan KL City FC untuk meraih keputusan positif.
“Setakat ini rekod kami bermain baik di gelanggang sendiri dan ia menjadi kelebihan dan motivasi kepada kami. Seperti yang saya katakan, bukan mustahil dalam bola sepak untuk meraih tiga mata menentang JDT.
“Namun, kami perlu bersedia sebaik mungkin dan mengelakkan kesilapan yang akan memberikan padah kepada pasukan. Saya yakin semua pemain juga bersemangat untuk menghadapi JDT,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!