Belum ada kena kompaun RM50,000 di Perak
IPOH - Polis di negeri ini mengambil pendekatan lebih berhemah sebelum mengeluarkan kompaun kepada mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, petugas telah diingatkan supaya mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum mengeluarkan kompaun tersebut.
Menurutnya, tiada rekod kompaun sehingga RM50,000 telah dikeluarkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini.
"Kompaun mempunyai tiga kategori iaitu serius, sederhana dan ringan. Sekiranya kompaun itu RM10,000, kita tulis RM10,000. Namun setakat ini, Kontinjen Perak belum lagi (kompaun RM50,000).
"Saya telah mengingatkan semua petugas barisan hadapan, anggota-anggota kita dan pegawai berpangkat inspektor ke atas yang diberi kuasa supaya mengeluarkan kompaun ikut kategori yang telah ditetapkan," katanya pada program Singgah Sahur anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sekatan jalan raya (SJR) Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini pada Jumaat.
Mior Faridalathrash berkata, sebanyak 120 kompaun telah dikeluarkan bermula 1 April lalu sehingga Rabu dengan kadar pematuhan mencatatkan sebanyak 96 peratus.
"Masyarakat diingatkan supaya terus akur dengan arahan pihak berkuasa. Elakkan diri melanggar SOP agar tidak dikenakan kompaun.
"Pada masa sama, kerajaan masih mengetatkan pergerakan rentas negeri dan jangan ada cubaan seperti itu lebih-lebih untuk sambutan raya. Tindakan tegas akan diambil dengan mengeluarkan kompaun dan mengarah untuk berpatah semula ke destinasi asal," katanya.
Katanya, masyarakat disarankan untuk menggunakan aplikasi ‘Volunteer Smartphone Patrol’ (VSP) ketika meninggalkan rumah untuk menyambut raya dalam negeri.
"Masyarakat yang bergerak dalam daerah, tinggalkan rumah atau kampung halaman boleh maklumkan di balai berdekatan atau guna aplikasi VSP.
"Ini membolehkan polis buat lawatan dan rondaan supaya dapat mencegah kejadian jenayah semasa meninggalkan rumah sepanjang tempoh perayaan," katanya.
Sementara itu, pada program itu, Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) telah menyerahkan sebanyak 100 beg barangan kepada petugas barisan hadapan dalam konvoi singgah sahur di Balai Polis Jelapang, Tambun dan Simpang Pulai serta SJR Tol Jelapang, Ipoh Utara, Simpang Pulai dan Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands.
Pengerusinya, Sayed Mohd Hesham Sayed Idris berkata, penglibatan media dapat melihat lebih jelas peranan petugas barisan hadapan.
"Sumbangan yang diberikan merupakan satu penghargaan kecil kepada tugas dan amanah yang digalas mereka dalam melaksanakan penguatkuasaan terutama di sempadan negeri.
"Secara tidak langsung program sebegini dapat mengeratkan hubungan media dan polis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!