Gangguan isyarat punca LRT Kelana Jaya tergendala
KUALA LUMPUR - Masalah gangguan isyarat pada sistem utama kawalan tren (Vehicle Control Centre-VCC) yang mengakibatkan tren tidak dapat berfungsi secara automatik, dikenal pasti punca Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya tergendala lebih dua jam hari ini.
Ketua Pegawai Operasi Laluan Kelana Jaya Rapid Rail Sdn Bhd (RapidKL) Ismail Abdullah berkata masalah itu berpunca daripada satu daripada komponen dalam bilik bekalan kuasa yang mengalami kerosakan dan kini masih dalam siasatan unit teknikal RapidKL.
“Kami mengalami masalah isyarat dari Kelana Jaya ke KLCC yang menyebabkan 19 tren di laluan itu tidak dapat dikesan kedudukannya. Bagi memastikan keselamatan tren dan penumpang, kesemua tren itu dipandu secara manual ke 15 stesen terdekat,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Rapid Rail, di sini.
Kejadian waktu puncak dari 6.35 pagi hingga 8.50 pagi itu melibatkan 19 tren daripada 47 tren yang beroperasi pagi tadi dan menjejaskan hampir 20,000 pengguna LRT laluan tersebut dari Stesen Kelana Jaya ke Stesen KLCC.
Ismail menjelaskan masalah VCC adalah masalah utama selain melibatkan jumlah tren yang banyak. Menurutnya, ia kejadian kedua melibatkan VCC selepas kejadian pertama pada Julai 2018.
“Jangka hayat unit bekalan kuasa ini adalah 28 tahun, tetapi kini sudah 24 tahun dan kita sudah mula nampak dan ambil langkah untuk mengelakkan masalah pada masa akan datang,” katanya.
Menurutnya, RapidKl juga telah mengambil inisiatif membuat pengumuman dari semasa ke semasa serta memaklumkan orang ramai mengenai masalah tersebut melalui media sosial.
Pihaknya juga telah menyediakan 14 bas perantara untuk kemudahan orang ramai di stesen terbabit.
Ismail berkata susulan kejadian itu, sebanyak 1,446 kupon perjalanan telah dipulangkan kepada pengguna.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!