Arteta sifatkan kekalahan Arsenal keputusan baik
KEKALAHAN 1-2 Arsenal kepada Villarreal pada aksi separuh akhir pertama Liga Europa di Estadio de La Ceramica pada awal pag Jumaat, disifatkan sebagai keputusan yang baik oleh pengendalinya, Mikel Arteta.
Menurut Arteta, di sebalik kekalahan berkenaan, ia sebenarnya membuka peluang buat Arsenal untuk mencatatkan kemenangan bagi aksi timbal balik di Emirates, 7 Mei nanti.
“Tiada siapa yang mahukan kekalahan, dan kedatangan kami ke sini sudah pasti bukannya untuk tewas.
“Pada perlawanan ini, prestasi kami sentiasa meningkat pada perlawanan ini walaupun beraksi dengan 10 pemain dan ketinggalan 0-2.
“Namun, jika kami ditakdirkan tewas, bagi saya, ia adalah (kekalahan) satu keputusan yang cukup baik buat kami,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, pemain Villarreal Manu Trigueros membuka jaringan seawall minit kelima sebelum Raul Albiol menjaringkan gol kedua pada minit ke-29 manakala pemain Arsenal, Nicolas Pepe menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-57.
Perlawanan berkenaan turut dicemari dengan insiden kad merah yang dilayangkan kepada pemain Arsenal, Dani Ceballos pada minit ke-57 dan kemudiannya pemain Villarreal, Etienne Capoue pada minit ke-80.
Mengulas mengenai kebangkitan yang dipamerkan The Gunners pada separuh masa kedua, Arteta berkata, pemain-pemain mula beraksi dengan menjadi diri mereka sendiri, berbanding separuh masa pertama.
Katanya, gerakan-gerakan ke gawang lawan juga kelihatan semakin teratur, namun hanya gagal diterjemahkan menjadi jaringan.
“Pada separuh masa kedua, kami mula beraksi dengan cara yang berbeza dan berjaya menjaringkan gol, walaupun menerusi sepakan penalti.
“Namun, jaringan itu ternyata bekalan yang cukup berharga buat kami menjelang aksi separuh akhir kedua di Emirates, 7 Mei nanti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!