Pilihan raya Palestin ditangguhkan
RAMALLAH - Presiden Palestin, Mahmud Abbas pada Jumaat menyatakan pilihan raya perundangan dan Presiden yang sepatutnya diadakan pada bulan Mei dan Julai depan terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.
Abbas berkata, penangguhan itu akan dihentikan jika terdapat jaminan bahawa para pengundi akan mengundi di kawasan Baitulmuqaddis Timur yang dirampas oleh rejim Zionis.
Kali terakhir pilihan raya diadakan ialah tahun 2006 yang menyaksikan Abbas dipilih menjadi Presiden dan Hamas membuat kejutan apabila menang dalam pilihan raya perundangan buat pertama kalinya.
Namun, Presiden Palestin itu menyatakan pilihan raya tidak dapat diteruskan kerana Israel tidak memberikan jaminan para pengundi boleh mengundi di Baitulmuqadis Timur.
"Kami memutuskan untuk menangguhkan pilihan raya sehingga terdapat jaminan (pengundi boleh mengundi) di Baitulmuqaddis Timur," kata pemimpin Palestin itu yang berusia 85 tahun seperti dilaporkan oleh AFP.
Pilihan raya itu sebelum ini diputuskan selepas pergerakan Fatah yang menguasai Tebing
Barat mencapai perjanjian dengan Hamas.
Bagaimanapun, Hamas yang menguasai Gaza dilaporkan akan menolak sebarang percubaan untuk menangguhkan pilihan raya tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!