'Allahyarham sangat teliti, menjaga masa'
KOTA BHARU - Sangat teliti dan menjaga masa. Itu antara peribadi terpuji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Allahyarham Dr Md Yusnan Yusoff yang perlu dijadikan contoh kepada seluruh wakil rakyat negeri ini.
Perkara tersebut dikongsikan ADUN Cempaka, Ahmad Fathan Mahmood ketika ditemui di kediaman Allahyarham di Ketereh, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, Allahyarham merupakan rakan yang berada di sebelahnya ketika mesyuarat Dewan Undangan Negeri dan sentiasa membantunya merancang pelbagai aktiviti untuk rakyat setempat.
"Beliau seorang yang sangat teliti. Sebagai contoh, setiap minit mesyuarat akan diteliti satu persatu. Ini di antara sikap yang perlu kita contohi sebagai wakil rakyat.
"Selain itu, Allahyarham menganggap masa sangat berharga dan tidak suka membazir masa selain sangat berdedikasi dan dalam kerja. Beliau juga cukup tegas dan berhemah," katanya kepada pemberita di sini.
Allahyarham Md Yusnan yang meninggalkan seorang balu, Romaini Mat Daud dan enam orang anak itu dipercayai rebah pada jam 2 pagi tadi di kediamannya di Batu 12, Ketereh akibat serangan jantung.
Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Setiausaha UMNO Bahagian Ketereh, Tarmizi Musa turut berkongsi beliau sempat berbincang dengan Allahyarham untuk melancarkan satu tabung bagi membantu membina bangunan tambahan di sebuah sekolah di Ketereh.
Menurutnya, perbincangan tersebut sudah pun masuk ke peringkat kedua iaitu penubuhan kumpulan untuk melancarkan lagi operasi gerak kerja.
"Bagaimanapun saya reda apabila menerima berita Allahyarham kembali ke rahmatullah tadi. Memang mengejutkan saya dan kematiannya di hari mulia, bulan mulia ini amat dicemburui.
Katanya, Allahyarham juga rapat dengan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan akan berkongsi perkembangan semasa di kawasan itu untuk dibincangkan, selain menghadiri majlis yang dianjurkan UMNO Ketereh.
"Hubungan wakil rakyat ini banyak tertumpu kepada kebajikan rakyat dan masalah yang dihadapi rakyat di Ketereh terutama apabila kita berada di bawah Muafakat Nasional," katanya.
Tarmizi yang juga Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Tan Sri Annuar Musa turut menyampaikan salam Annuar kepada keluarga Allahyarham kerana Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan tidak dapat pulang kerana ada tugasan di Kuala Lumpur.
Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada arwah di kediamannya ialah Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob dan Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya'kub, Exco Kerajaan Negeri dan Datuk Mumtaz Md Nawi.
Jenazah akan disolatkan di Masjid Muhammadi Kota Bharu selepas solat Jumaat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Pondok Haji Hassan, Ketereh.
ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Melor meninggal dunia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!