16 individu dicekup dalam Ops Mabuk, Ops Samseng Jalanan

Sekatan jalan raya yang dilakukan polis di beberapa lokasi terpilih di seluruh Johor. - Foto Ihsan polis
Sekatan jalan raya yang dilakukan polis di beberapa lokasi terpilih di seluruh Johor. - Foto Ihsan polis
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor telah menahan 16 ‘kaki mabuk’ dan ‘mat rempit’ dalam Ops Mabuk dan Ops Samseng Jalanan yang diadakan serentak di seluruh Kontinjen Johor, awal pagi Jumaat.

Selain itu, polis turut menyita 12 kereta dan motosikal pelbagai jenama dan 56 saman Pol.257 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Superintendan M Kumarasan berkata, dalam sekatan jalan raya (SJR) di beberapa lokasi terancang, pihaknya telah menahan sembilan individu kerana berada di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan.

“Kesemua yang ditahan itu berumur antara 18 hingga 60 tahun atas kesalahan memandu dan didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 45A (1) APJ 1987. PO.

“Bagi Ops Samseng Jalanan (OSJ) pula, hasil maklumat dan risikan menahan tujuh individu berumur antara 17 hingga 19 tahun yang melakukan aksi-aksi berbahaya dan lagak ngeri di jalan awam.

“Tindakan mereka bukan sahaja boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri malah kepada orang awam seperti di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

M Kumarasan menyoal siasat salah seorang pemandu yang ditahan. - Foto Ihsan polis
M Kumarasan menyoal siasat salah seorang pemandu yang ditahan. - Foto Ihsan polis

Tegas Kumarasan, Ops Mabuk dan Ops Samseng Jalanan merupakan fokus utama JSPT Johor mengambil tindakan tegas terhadap 'kaki mabuk' dan 'mat rempit' yang masih tidak serik melanggar undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, semua pengguna jalan raya perlu mengambil iktibar dan pengajaran terhadap insiden lepas yang tular di media sosial, kesan memandu dalam pengaruh alkohol dan terlibat dengan aktiviti samseng jalanan.

“JSPT Johor akan terus memburu individu yang masih berdegil dan tidak gerun dengan hukuman yang dikenakan atas kesalahan ini iaitu di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987).

“Tiada kompromi bagi pesalah mabuk dan mat rempit bagi memastikan kesejahteraan awam,” ujarnya.

Polis sedang menguji tahap kandungan alkohol salah seorang pemandu yang ditahan. - Foto Ihsan polis
Polis sedang menguji tahap kandungan alkohol salah seorang pemandu yang ditahan. - Foto Ihsan polis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!