Nenek kejam jadikan cucu pengemis
PALEMBANG - Seorang nenek tergamak menjadikan cucunya sebagai pengemis di Palembang Sumatera Selatan selepas video aksinya memukul, menarik rambut kanak-kanak itu tular di media sosial sehingga mendapat perhatian polis.
Menerusi laporan Tribunnews, video durasi satu minit yang dirakam seorang wanita yang ketika itu berada di dalam kereta memaparkan nenek dikenali sebagai Suryani, 46, memukul cucu perempuan berusia lapan tahun kerana mendapati hasil wang mengemis berkurangan.
Suryani dilihat memukul cucunya menggunakan beg di kepala malah menarik rambut kanak-kanak itu berulang kali kerana marah.
Simpati kepada anak kecil itu, perakam video bertindak keluar dari kereta dan menghalang tindakan Suryani sebelum mereka beredar dari lokasi.
Jurucakap polis, Tri Wahyudi berkata, Suryani memaksa cucunya mengemis setiap hari dan menetapkan wang berjumlah 30,000 rupiah (RM8.50) sehari yang perlu diperoleh kanak-kanak malang itu.
Sekiranya cucu itu tidak mendapat jumlah wang sedemikian, wanita itu akan memukulnya di khalayak ramai sehingga menjadi perhatian.
Suryani mengakui dia mengajak cucunya mengemis kerana kanak-kanak itu bersekolah dari rumah akibat pandemik Covid-19.
“Saya mengaku mengajak cucu mengemis bagi menampung perbelanjaan harian kami. Baru seminggu saya menyuruhnya mengemis. Saya minta maaf dan menyesal dengan apa yang berlaku," katanya.
Wahyudi memberitahu, Suryani bakal berdepan hukuman penjara 10 tahun jika disabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!