Villarreal mahu buru lebih banyak gol di London
PENGENDALI Villarreal, Unai Emery menyifatkan The Yellow Submarine layak memenangi perlawanan menentang Arsenal pada aksi Liga Europa di Estadio de la Ceramica berdasarkan prestasi dalam kalangan pemainnya.
Dalam aksi separuh akhir pertama tersebut, tuan rumah berjaya menewaskan The Gunners 2-1 hasil jaringan babak pertama Manu Trigueros dan Raul Albiol.
Namun gergasi London bangkit meledak satu gol di tempat lawan apabila Nicolas Pepe menyempurnakan sepakan penalti minit ke-73.
“Villarreal berhak meraih kemenangan menentang Arsenal. Kami juga sebenarnya berpeluang menjaringkan gol ketiga pada perlawanan ini.
“Kami akan bermain di Emirates dengan misi yang sama, menguasai perlawanan dan mempamerkan karakter sebenar.
“Taktikal diterapkan dalam kalangan pemain diterjemahkan dengan sempurna. Kemenangan ini juga membolehkan kami lebih bersemangat menjaringkan lebih banyak gol di laman lawan selepas ini,” kata Emery.
Biarpun begitu Emery mengakui terkilan tindakan pengadil memberikan sepakan penalti kepada pelawat sekali gus membolehkan lawan mengurangkan defisit menjelang aksi kedua di Emirates minggu depan.
“Arsenal tidak sepatutnya diberikan penalti pada perlawanan ini kerana jelas insiden tersebut bukan pencetus kepada pemberian penalti.
“Jelas sekali ini adalah kesilapan pengadil sekiranya melihat teliti dengan video bantuan pengadil,” kata bekas pengendali Arsenal tersebut.
Pada perlawanan itu juga, kedua-dua kelab tersebut beraksi dengan 10 pemain setelah Dani Ceballos diperintah keluar padang pada minit ke-57 diikuti Etienne Capoue pada minit ke-80.
Emery pernah mengemudikan Arsenal dari Mei 2018 hingga November 2019 sebelum dipecat dan digantikan dengan Mikel Arteta.
Pengendali dari Sepanyol itu akan kembali ke Emirates minggu depan bagi merealisasikan misi ke final di Gdansk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!