Dua peniaga dikompaun di Kedah
ALOR SETAR - Hanya dua kompaun dikeluarkan ke atas peniaga di Kedah sepanjang tempoh perlaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 setakat ini.
Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Wan Romani Wan Salim berkata, kompaun itu dikeluarkan atas kesalahan tidak meletakkan tanda harga.
"Melalui skim itu, terdapat beberapa barangan diletakkan di bawah harga kawalan seperti ayam standard tidak melebihi RM7.90 sekilogram manakala harga maksimum daging tempatan RM34 sekilogram.
"Setakat ini, hanya dua kompaun dikeluarkan dalam pemantauan di 191 lokasi seluruh Kedah melibatkan 18 pemborong dan lebih 1,900 peruncit kerana tidak meletakkan tanda harga," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa di Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Abdul Halim di sini pada Khamis malam.
Wan Romani berkata, pihaknya mendapati tiada kesalahan lain dikesan sepanjang pemantauan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sepanjang pemantauan dilakukan pihaknya juga mendapati tiada kenaikan harga barangan dikesan setakat ini, sebaliknya ada dalam kalangan peniaga bertindak menjual harga barangan lebih rendah daripada harga ditetapkan.
"Peniaga didapati menjual mengikut standard harga ditetapkan KPDNHEP dan ada jual lebih murah, jadi jikalau ada yang dakwa harga naik maka ia tidak benar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!