Warga Bangladesh miliki rokok seludup dipenjara enam bulan

Khan Mosharaf (tengah) dipenjara enam bulan selepas mengaku salah memiliki rokok seludup di Mahkamah Majistret Bahau, pada Jumaat.
Khan Mosharaf (tengah) dipenjara enam bulan selepas mengaku salah memiliki rokok seludup di Mahkamah Majistret Bahau, pada Jumaat.
A
A
A

JEMPOL - Gara-gara memiliki rokok seludup bernilai RM5,781.60, seorang warga Bangladesh dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Bahau, di sini pada Jumaat.

Majistret Muhammad Hidayat Wahab menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh, Khan Mosharaf, 44, mengaku salah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Khan Mosharaf didakwa memiliki 584 karton rokok pelbagai jenama yang bernilai RM5,781.60 di mana barang- barang tersebut adalah dilarang import di bawah perintah Kastam (larangan mengenai import) 2017 (P.U.(A)103/2017).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pasar sementara Felda Palong 4,5,6 dan di rumah kongsi tidak bernombor,Felda Palong, kira-kira jam 7.30 pagi, 12 April lalu.

Perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih tinggi atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah juga akan memerintahkan pelupusan barang-barang yang disita mengikut peruntukan pelupusan barang kes di bawah Seksyen 127 Akta Kastam 1967.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!