Tiada penetapan had umur maksimum pemandu e-hailing: MOT

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak menetapkan sebarang syarat atau peraturan berkaitan had umur maksimum kepada pemandu e-hailing.

Menterinya, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, mana-mana individu boleh terus memegang atau memperbaharui Lesen Vokasional mereka selagi mana mematuhi semua syarat lain yang ditetapkan.

“Ini termasuk mengemukakan laporan perubatan yang mengesahkan mereka adalah sihat dan berupaya melaksanakan fungsi pemanduan dengan selamat,” katanya menerusi satu kenyataan di Twitter pada Jumaat.

Sementara itu, Ka Siong berkata, penetapan had umur maksimum oleh pihak Grab seperti dilaporkan merupakan satu ketetapan syarat dalaman untuk mendaftarkan mana-mana individu sebagai pemandu e-hailing dengannya.

Dalam pada itu, pihaknya juga berharap operator-operator perkhidmatan e-hailing di seluruh negara termasuk Grab dapat menilai semula syarat-syarat dalaman yang ditetapkan dari masa ke masa.

“Penetapan ini termasuk yang berkaitan dengan had umur maksimum.

“Perkara ini bertujuan untuk membantu semua yang terlibat dapat meneruskan kelangsungan kehidupan mereka dengan bekerja sebagai pemandu e-hailing,” ujarnya.

Para pemandu e-hailing juga perlulah sentiasa bertanggungjawab dengan memastikan tahap kesihatan diri mereka dalam keadaan yang baik pada setiap masa.

Artikel Berkaitan:

Tahap kesihatan tersebut amat penting bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan sentiasa selamat terutamanya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!