{DIKEMASKINI] Maritim rampas tujuh bubu naga
KUANTAN - [DIKEMASKINI] Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pahang merampas tujuh set bubu naga yang ditemui di perairan Sungai Ular hasil rondaan di sekitar kawasan itu pada Khamis.
Peralatan menangkap ikan yang dilarang itu ditemui kira-kira jam 10.10 pagi.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, bubu berukuran 10 meter setiap satu itu dibawa ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Maritim Negeri Pahang untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, kes diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan.
"Rampasan bubu naga ini merupakan kes pertama di perairan negeri ini," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.
Amran berkata, komuniti maritim terutamanya nelayan diminta sentiasa mematuhi undang-undang serta syarat sah lesen dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut.
"Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!